Berhenti merokok bukan suatu kerja yang mudah.

Maka dengan itu, tidak hairanlah jika dikatakan hanya 7% perokok yang betul-betul berjaya  berhenti merokok pada cubaan kali pertama.

Menanam azam pula tidak semudah ikthiar untuk melaksanakannya. Begitu juga dengan azam untuk berhenti merokok.

Ramai perokok yang terpaksa memperbaharui azam mereka setiap tahun kerana gagal menjumpai kesan positif akibat berhenti merokok.

Tidak mengapa, niat untuk berhenti sudah memberi makna yang cukup besar bagi diri seorang perokok.

Berhenti sebelum segalanya sudah terlambat (akibat penyakit disebabkan merokok) adalah langkah yang sangat terbaik.

Sebagai menyokong usaha ini, mari kita lihat kesan berhenti merokok  dari sudut positif berdasarkan sudut garis masa.

Kesan Berhenti Merokok

# Selepas 20 Minit

Ia dikatakan masih terlalu awal untuk menentukan bahawa anda telah berjaya berhenti merokok.

Namun selepas 20 minit, tubuh mula melakukan pembaikpulihan normal.

Denyut nadi dan tekanan darah mula menurun dan kembali ke paras normal. Ia dapat dirasakan apabila tangan dan kaki kembali kepada suhu hangat normal.

# Selepas 8 Jam

Rata-rata Perokok aktif atau tegar di Malaysia secara puratanya merokok sebanyak 14 batang rokok sehari. Lebih kurang sebatang rokok bagi setiap 1 jam.

Sumber: utusan.com.my

Namun, selepas 8 jam berusaha berhenti daripada merokok, anda mula berjaya mengurangkan separuh daripada paras nikotin dan karbon monoksida di dalam darah berbanding hari-hari merokok biasa sebelumnya.

Karbon monoksida adalah bahan kimia yang terkandung di dalam rokok. Ia mengganggu kecekapan pengangkutan kandungan oksigen di dalam darah. Kesannya menyebabkan otot dan tisu otak tidak mendapat sumber oksigen yang segar dan mencukupi.

Apabila kandungan kimia ini menurun, kualiti oksigen yang disedut dan dibawa di dalam darah akan menjadi lebih baik.

Sebagai kesan yang berlawanan, anda mungkin rasa bingung dan memiliki keinginan yang tinggi untuk merokok semula.

Walaupun teruk, ia adalah fasa yang normal. Kebiasaannya keadaan ini akan normal selepas 5 – 10 minit.

Cuba atasinya dengan membuat sesuatu perkara yang lebih berfaedah untuk mengalih perhatian dan perasaan anda terhadap rokok.

Alternatifnya, mengunyah gula-gula getah atau minum lebih air boleh memperbaiki rasa dalam mulut anda.

# Selepas 12 jam

Wahh! Ia hari yang bermakna anda sudah separuh hari bebas daripada merokok. Ia suatu yang positif dan sangat baik.

Berita baiknya, paras karbon monoksida di dalam darah anda sudah kembali kepada normal. Jantung tentu sangat berterima kasih kepada anda akan hal ini.

Tiada gangguan dan kerja lebih mudah untuk mengepam oksigen ke seluruh tubuh anda.

#Selepas 24 jam

Jika kebiasaannya anda merokok sebanyak 1 pek sehari, risikonya adalah dua kali ganda untuk anda mendapat serangan mengejut kegagalan jantung.

Setelah satu hari anda menahan diri daripada merokok, anda berjaya mengurangkan risiko serangan jantung ini secara perlahan-lahan (Jika kondisi jantung anda masih baik sebelum proses berhenti merokok ini berjalan). Hebat bukan!?.

#Selepas 48 jam (2 hari)

Apa yang terjadi selepas 2 hari tanpa rokok? Cuba uji deria rasa anda terhadap makananan. Mungkin boleh cuba sesuatu yang menarik dan sedap sebagai “reward”.

Pada tahap ini sepatutnya deria rasa dan deria bau anda semakin tajam dan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

Tubuh juga aktif melakukan proses pembersihan. Paru-paru menyingkirkan bendalir mukus dan kesan nikotin daripada tubuh.

Pada saat ini, anda mungkin terpaksa menghadapi situasi stress, cepat marah, pening, mudah lapar dan keletihan. Rasa sakit kepala, “boring” dan tertekan adalah normal.

Cuba bertenang dan kembali ke plan asal. Alihkan perhatian dan perasaan terhadap kesan penolakan ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti lain yang lebih tenang dan berfaedah.

Berada di tempat-tempat larangan merokok dapat juga membantu anda menghindari kumpulan perokok.

Banyak bergaul dengan orang yang tidak merokok dan lakukan aktiviti sihat juga amat membantu menyokong usaha pemulihan ketagihan nikotin ini.

Jika anda ada masalah asma atau kesukaran bernafas, ia mungkin menjadi agak berat pada ketika ini. Sesetengah individu mungkin dapat mengatasi krisis ini dalam masa yang agak cepat atau dalam tempoh 3 hari.

Jika simptom ini berlanjutan, segera dapatkan pemeriksaan awal dan rawatan doktor.

#Selepas 2 minggu – 3 bulan

Selepas hampir 2 minggu berhenti daripada merokok, tubuh anda sudah mula menunjukkan kesan yang semakin baik.

Bernafas menjadi lebih mudah dan lebih tenaga dihasilkan. Organ paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik dan kembali ke paras optimum.

Ia satu langkah pemulihan yang sangat besar bagi diri anda. Hari-hari anda terasa lebih mudah tanpa rokok.

Organ dan sistem pernafasan yang semakin kuat dan bersih mengembalikan kadar aliran darah dalam tubuh ke tahap yang lebih baik.

Tubuh semakin ringan semasa melakukan aktiviti kecergasan seperti latihan dan senaman atau aktiviti riadah yang aktif tanpa kesan sesak nafas atau semput awal.

Faktor risiko serangan jantung juga semakin menurun dan jantung menjadi lebih baik.

Sebaliknya, tubuh anda juga mungkin masih sukar untuk membuang ketagihan kepada rokok. Dan setiap individu mempunyai reaksi yang berbeza-beza terhadap situasi ini.

Prosedurnya masih sama, kembali kepada matlamat asal anda. Fikirkan berapa RM yang anda telah jimatkan setakat hari ini. Ini mungkin motivasi yang terbaik buat anda yang amat jelas kesannya.

Tarik nafas secara perlahan-lahan, sedalam mungkin dan hembuskan dengan tenang. Amalkan sebanyak 10 kali untuk satu sesi. Sanga baik untuk memperbaiki mood dan mengawal stress yang sedang dihadapi.

#Selepas 3 – 9 bulan

Pada tahap ini, anda sudah biasa mengelak daripada tabiat merokok. Anda dapat bernafas dengan lebih dalam dan rasa lebih segar.

Komplikasi batuk mungkin perkara biasa, tetapi ia dapat membantu mengeluarkan bendasing akibat kesan nikotin dari dalam paru-paru supaya lebih bersih.

Mampu bernafas panjang buat anda rasa lebih bertenaga.

#Selepas 1 Tahun

menjangkau 1 tahun anda bebas daripada rokok satu milestone atau pencapaian yang sangat mengagumkan. Terlepas dari belenggu rokok memberi lebih sinar baru di masa hadapan.

Lebih baik lagi, risiko penyakit jantung anda berkurangan separuh berbanding setahun yang lepas.

#Selepas 5 Tahun

Kini risiko anda untuk mengalami serangan strok dan kanser servik (bagi wanita) sama dengan orang yang tidak pernah merokok.

Berbanding langkah pertama anda mula berhenti merokok dulu, risiko untuk mendapat masalah kanser mulut, tekak, esofagus dan buah pinggang juga mengurang sebanyak 50%.

#Selepas 10 tahun

Berbanding rakan atau orang yang masih lagi merokok sekarang ini, risiko maut akibat kanser paru-paru berkurangan separuh kali ganda.

Begitu juga dengan penurunan risiko kanser larinks (peti suara) dan kanser pankreas.

#Selepas 15 tahun

Pada fasa ini, tubuh anda sudah banyak kali melakukan proses penyembuhan dan pembaikpulihan. Risiko penyakit jantung anda kini sama dengan orang yang tidak pernah merokok sama sekali.

Kini anda kembali kepada jalan yang lurus, menempuhi proses fasa penuaan secara semulajadi.

Amalan pemakanan dan gaya hidup sihat dapat membantu memanjangkan jangka hayat kesihatan anda.

Tahniah.

Facebook Comments:
11 Fasa Kesan Berhenti Merokok Yang Anda Perlu Tahu dan Patut Mulakan Sekarang!

Leave a Reply

Your email address will not be published.