Paru-paru adalah antara organ utama yang penting dalam tubuh manusia untuk fungsi pernafasan. Manusia bernafas sekurang-kurangnya 20,000 kali dalam sehari dan bekerja 24 jam tanpa henti.

Ia bertugas menyedut masuk udara bersih untuk mencerna oksigen dan mengeluarkan kembali sisa gas yang tidak diperlukan ke ruangan atmosfera dalam kitaran proses respirasi.

Umpama penapis udara di dalam enjin kenderaan, ia perlu selalu dijaga bersih. Semakin banyak enapan gas kotor atau bendasing, semakin kurang efisien prestasi enjin.

Begitu juga paru-paru kita, kita perlu menjaganya daripada menyedut atau tersedut udara kotor, toksik dan gas asing yang merbahaya kepada kesihatan kita. Tidak seperti penapis udara kenderaan yang boleh ditukarganti dengan mudahnya apabila rosak, paru-paru kita perlu menjalankan pemuliharaan secara semulajadi sendiri untuk kekal berada di tahap yang baik.

Makanan Untuk Paru-Paru Sihat

Faktor Punca Penyakit berkaitan Paru-paru

Penyakit berkaitan masalah paru-paru wujud mengikut tahap risikonya, ada yang ringan dan ada yang berat sehingga boleh mengancam nyawa seperti asthma, jangkitan kuman, paru-paru berair, pneumonia, bronkitis, kanser paru-paru dan pelbagai lagi.

Faktor berkaitan yang menjadi punca wujudnya masalah paru-paru antaranya ialah:

  1. Gaya hidup tidak sihat : Tabiat merokok, pemakanan tidak sihat dan kurang aktif & bersenam.

  2. Persekitaran : Terdedah kepada pencemaran udara, jerebu dan jangkitan bakteria atau kuman.

  3. Genetik : Pembawaan dari generasi ke generasi tertentu dalam kalangan keluarga.

Baca Juga >> 8 Jenis Penyakit Sistem Respirasi Manusia Paling Kronik

Baca Juga >> Saya Sudah Berhenti Merokok Kerana Tonik Ini Buat Rokok Saya Rasa Pahit

11 Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru

Tahukah anda? Salah satu cara untuk mencegah masalah kesihatan paru-paru adalah melalui diet pemakanan yang baik. Jenis-jenis makanan berikut mampu membantu cuci paru-paru kita supaya bersih dan memberi kesegaran untuk proses respirasi yang berpanjangan selagi kita masih hidup.

#1 – Sayuran Jenis Cruciferous

Sayuran Cruciferous adalah sayuran berjenis kobis(kobis bulat, kobis cina, kobis brussel, bunga kobis), brokoli dan beberapa jenis lagi (lebih kurang 3000 spesis); yang kaya dengan antioksidan.

Antioksidan ini berfungsi melindungi sel tubuh daripada kerosakan akibat terdedah kepada radikal bebas dikenalpasti menjadi penyebab kepada risiko penyakit jantung, diabetes, penuaan dan kanser.

#2 – Karotenoid Tumbuhan

Karotenoid adalah sejenis antioksidan dikenalpasti dapat membantu mencegah kanser paru-paru. Karotenoid boleh didapati dalam buah-buahan dan sayuran yang mempunyai pigmen warna oren atau merah. Lobak adalah contoh tumbuhan yang kaya dengan karotenoid dari jenis beta-karoten. Antioksidan ini ditukarkan kepada vitamin A yang sangat baik membantu menurunkan gejala asma atau lelah.

#3 – Asid Lemak Omega-3

Asid lemak Omega-3 sangat penting untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh. Kajian awal telah menunjukkan bahawa makanan yang kaya dengan asid lemak sangat baik membantu mengurangkan kesan asma. Ia boleh diperolehi daripada sumber tenusu, ikan, telur, flaxseed dan kekacang. Sumber omega-3 dari ikan merupakan yang terbaik kerana mengandungi DHA dan EPA yang memberi lebih manfaat kepada tubuh. Atau lebih mudah, boleh diambil dalam bentuk kapsul minyak ikan.

#4 – Bawang Putih

Bawang putih mengandungi sejenis enzim yang dinamakan sebagai allinase yang kemudiannya bertukar kepada allicin. Allicin membawa fungsi anti-bakteria, anti- keradangan, anti-kanser, anti-hipertensi dan anti-darah beku secara semulajadi. Ia juga membantu memusnahkan radikal bebas yang menyebabkan asma dan kanser paru-paru.

#5 – Vitamin C

Makanan yang kaya dengan sumber vitamin C, membantu paru-paru mengangkut oksigen ke segenap tubuh dengan lebih efektif. Contoh makanan yang mempunyai vitamin C seperti buah kiwi, buah sitrus, nanas, sayuran, tomato dan pelbagai lagi.

#6 – Berry

Berry adalah sejenis kumpulan buah-buahan yang kaya dengan antioksidan, polyphenol anthocyanin, flavanoid beta-karoten, lutien dan zeaxanthin. Komposisi nutrien, antioksidan dan fitokimia ini sangat membantu mencegah kesan penuaan, penyakit kardiovaskular, arthritis, diabetes, darah tinggi dan juga beberapa jenis kanser termasuk kanser paru-paru. Strawberi, bluberi, blackberi dan raspberi adalah contoh buahan-buahan kategori “Superfoods”.

#7 – Epal

Epal juga mempunyai kandungan flavanoid dan pelbagai vitamin yang terbukti boleh membantu kesihatan sistem respirasi manusia dan meningkatkan sistem imun untuk menghalang penyakit dalam paru-paru.

#8 – Halia

Sejenis herba yang sangat baik untuk masakan dan kesihatan, halia juga terkenal dengan fungsi tumbuhan terapeutik. Ia mengandungi komponen bioaktif yang mampu membantu tahap kesihatan dan melawan penyakit. Selain dicampur dalam masakan, ia juga boleh ditelan mentah untuk membantu sistem pencernaan tubuh dan menyingkirkan toksin dari badan.

#9 – Delima

Delima terkenal dengan khasiat semulajadinya untuk kesihatan. Kaya dengan antioksidan dan komponen phenolic, tannin dan pelbagai jenis vitamin dan mineral. Kandungan nutrien yang baik ini boleh membantu memperlahankan pembentukan penyakit paru-paru termasuk pertumbuhan tumor.

#10 – Makanan Kaya Magnesium

Mineral magnesium biasanya digunakan untuk mengubati pesakit asma. Ia boleh meningkatkan kapasiti paru-paru dan menambah kecekapan sistem respirasi manusia. Sumber magnesium sangat mudah diperolehi daripada pisang, avokado, buah tin, kacang almond, biji labu, bayam dan pelbagai lagi.

#11 – Air

Air sangat penting untuk menyokong fungsi mencuci atau membersih sistem paru-paru. Tanpa air yang cukup, sistem tubuh juga mudah terganggu. Perbanyakkan air (air kosong) dalam diet mampu memperbaiki sistem kitaran tubuh, mengekalkan hidrasi paru-paru dan menyingkirkan toksin yang terkumpul serta berbahaya dari badan.

[Infografik] 11 Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru

Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru
Klik imej & zoom untuk lebih jelas

Selain pilihan makanan, terdapat juga cara lain yang boleh diamalakn untuk mengekalkan kesihatan paru-paru dan sistem respirasi kita.

Antaranya melalui teknik pernafasan yang betul. Sedut udara segar, tarik nafas sedalam mungkin dan hembuskan sekuat hati mampu memberi kesegaran dan kesihatan kepada paru-paru, dan juga bebas dari toksin!.

Facebook Comments:
11 Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru Bebas Dari Toksin Dan Penyakit

6 thoughts on “11 Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru Bebas Dari Toksin Dan Penyakit

  • March 10, 2017 at 11:45 am
    Permalink

    Terima kasih kongsi info. Saya sangat hargainya.

    Reply
  • September 8, 2017 at 7:20 am
    Permalink

    Terima kasih perkongsian info kesihatan yang sangat baik.

    Reply
    • September 8, 2017 at 6:52 pm
      Permalink

      Sama-sama Tuan/Puan Anonymus. Hope dapat info yang brguna. Terima kasih singgah ke sini.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.