tips-untuk-hidup-bahagia

Selamat menyambut Hari Merdeka untuk negara yang dicintai buat kali yang ke-58 untuk tahun 2015 ini. Aktiviti sambutannya sungguh meriah diraikan di segenap pelusuk negara dengan suasana harmoni dan semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia. Syukur Malaysiaku masih aman.

Dan cerita disebaliknya, sememangnya diakui ramai yang terkesan dengan belenggu masalah kehidupan akibat situasi Malaysia hari ini. Sempena bulan kemerdekaan ini, bebaskanlah diri dari keluhan dari tekanan hidup supaya tidak terus terberhenti dari melangkah untuk mengejar apa yang kita cita-citakan. Usah kita terlalu terpesona melayan karenah kehidupan yang semakin hari semakin menjadi-jadi.

Positifkan diri dengan 7 tips untuk bahagia dalam hidup yang dikongsikan dalam entri ini. Semoga bermanfaat!.

7 Tips Untuk Hidup Bahagia dan Bebas Merdeka

#1 – Lakukan Sesuatu Untuk Orang Lain

Bermurah hati untuk memberikan sesuatu kepada orang lain, tidak kira sama ada tenaga, masa, bantuan atau pun apa sahaja jenis kebaikan yang kita ada. Lebih murni jika tidak mengharapkan sebarang balasan mahupun untuk sesuatu maksud atau tujuan tertentu lain.

Pendek kata dengan ikhlas, rela hati dan sepenuh jiwa. Ia bukan sekadar membantu mereka tetapi juga untuk kebaikan dan kesejahteraan diri kita sendiri. Bila mereka rasa gembira atas kebaikan yang dihulurkan, secara tidak langsung diri kita akan turut berasa puas dan bahagia.

     Kebahagiaan bukan hanya untuk diri sendiri. Ia boleh dikongsi dengan orang lain. Untuk menjadikan diri lebih bahagia dan menjadi lebih baik.

– Yourfabulousmama.net

#2 – Berkomunikasi Sesama Insan

Komunikasi adalah bahagian penting dalam kehidupan seseorang. Ia sebagai cara untuk kita berhubung dengan persekitaran dan orang lain. Ini termasuk hubungan rapat sesama keluarga, teman-teman, rakan sekerja dan masyarakat sekeliling.

Disamping dapat berkongsi sokongan, rasa cinta dan makna, ia turut membantu meningkat perasaan kita untuk menilai diri. Rangkaian yang lebih meluas dapat membawa semangat kekitaan dan memperkukuhkan hubungan; penting untuk mencapai kebahagiaan. Namun dalam keadaan ini, kita perlu pandai menapis elemen dan pengaruh negatif dan bijak memilih rakan yang positif.

Sebaliknya berseorangan menjadikan kita lemah dan meletakkan diri di dalam kekurangan tanpa sebarang sokongan. Justeru, Islam menggalakkan kita supaya berjemaah dalam perkara yang baik.

#3 – Jaga Tubuh dan Minda

Tubuh dan minda mempunyai kaitan yang rapat antara keduanya. Untuk merasai makna bahagia dalam hidup dalam ertikata yang sebenar, kita perlu mempunyai tubuh dan minda yang sihat.

Kehidupan yang aktif lebih memberikan kita rasa bahagia dan penting untuk fizikal yang sihat. Juga penting untuk perkembangan minda dan meningkatkan mood serta boleh mengeluarkan kita dari segala macam kekusutan masalah bagi mengawal stress.

Lebih baik lagi jika kita selalu berterima kasih dan menzahirkan rasa syukur kepada empunya alam yang maha esa.

#4 – Peka Terhadap Persekitaran

Belajar untuk menjadi lebih prihatin terhadap persekitaran dan kehidupan. Islam mengajar kita supaya tidak hanya melihat kepada kelebihan yang ada pada orang lain. Kita juga lebih dituntut supaya meneliti keadaan disekeliling, mungkin ada orang yang lebih memerlukan dan berada dalam serba kekurangan berbanding kita.

Proses ini boleh membantu kita mengimbangi perasaan dan mengawal minda daripada memikirkan tentang diri sendiri berkaitan kehidupan masa lalu atau bimbang tentang masa hadapan.

Bukankah ini juga lebih mengajar kita tentang apa erti syukur dan nikmat merasa bahagia?.

#5 – Sentiasa Belajar Perkara Baru

Proses pembelajaran memberi impak kepada kesejahteraan dalam perspektif yang positif serta pembangunan kendiri.

Membantu mengisi kekosongan dalam hidup dengan mencari idea-idea baru dan mengetahui perkara-perkara baru atau benda lama yang mungkin belum kita kuasai serta berkembang dengannya. Ia juga membuatkan kita merasa pencapaian, membantu meningkatkan keyakinan dan daya tahan kita untuk kehidupan serba mencabar di masa hadapan.

#6 – Sentiasa Bangkit Dari Kegagalan

Memperolehi kejayaan adalah suatu perkara yang paling manis dalam hidup. Namun, ia tidaklah semudah yang disangka. Kegagalan sering menjadi pengiring setia tatkala kita tersalah langkah atau tersilap di dalam membuat keputusan. Terjatuh adalah perkara biasa.

Percayalah, semua orang pernah mengalami masa kelam, tekanan, kerugian dan trauma akibat kegagalan dalam kehidupan. Apa yang menjadikan seseorang itu kuat ialah bangkit semula mengatasi segala kegagalan yang di alami. Kadangkala terpaksa berkali-kali bangkit daripada kegagalan yang sama. Dan kejayaan pasti datang akhirnya, di situlah timbul rasa bahagia dalam kehidupan kita.

#7 – Terima Diri Seadanya

Di dalam dunia ini, tiada manusia yang rasa dirinya amat sempurna. Bermuhasabah dan belajarlah untuk menerima segala kekurangan diri dan berusaha menjadi yang lebih baik apabila berlaku sesuatu kesilapan.

Malah ia lebih mendatangkan keseronokan, kekuatan dan kesejahteraan kepada kita dalam menelusuri liku-liku kehidupan. Dan secara tidak langsung, ia turut membantu kita untuk belajar menerima orang lain sama.

Semoga 7 tips untuk bahagia di atas dapat menjadikan diri kita Bebas dan Merdeka!.

– Selamat Hari Merdeka Malaysia –

Facebook Comments:
7 Tips Untuk Hidup Bahagia Dan Bebas Merdeka

Leave a Reply

Your email address will not be published.