Respirasi atau pernafasan merujuk kepada mekanisma proses pengambilan oksigen ke dalam tubuh dan pengeluaran karbon dioksida keluar daripada tubuh melalui organ pernafasan.

Sistem respirasi pula merujuk kepada siri organ yang terlibat di dalam fungsi respirasi tersebut. Organ utama di dalam sistem respirasi adalah paru-paru.

Bermula daripada rongga hidung, udara (oksigen) disedut masuk  melalui rongga farinks (tekak) dan rongga larinks (leher), kemudian terus ke organ paru-paru yang terdiri daripada trakea, bronkus, bronkiol dan berakhir di alveolus (pundi-pundi udara).

Proses ini berbalik semula untuk mengeluarkan sisa oksidasi yang utamanya mengandungi gas karbon dioksida melalui cara hembusan nafas. Proses ini berterusan setiap saat dalam kitaran lebih kurang 1.2 juta kali sehari pada kadar pernafasan normal.

Penyakit Sistem Respirasi Manusia

8 Fakta Menarik Tentang Sistem Respirasi Manusia

Tahukah Anda?

  • Paru-paru kanan kita lebih besar berbanding paru-paru kiri. Ia tidak dapat dibezakan dengan hanya berdiri di hadapan cermin.
  • Fungsi bulu di dalam rongga hidung membantu menapis udara yang kita sedut dan juga memanaskannya.
  • Halaju bersin terpantas di dunia yang pernah direkodkan adalah selaju 165 km sejam
  • Jaringan kapilari di dalam paru-paru jika disambungkan boleh menjangkau sejauh 1600 km. Anda boleh pergi lebih jauh!
  • Alveoli atau pundi udara di dalam rongga paru-paru jika dibentangkan setiap satunya dan dicantumkan boleh mencapai keluasan sebesar padang tenis. Namun perjalanan hidup kita lebih kompleks berbanding selirat paru-paru kita.
  • Manusia secara normalnya bernafas 12 hingga 15 kali seminit. Jumlah ini lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.
  • Bayi? mereka bernafas 40 kali seminit ketika jaga dan menurun sehingga ke 20 kali seminit semasa rehat atau tidur.
  • Semasa bernafas, kita kehilangan hampir setengah liter air setiap hari. Ia dalam bentuk wap air yang boleh kelihatan apabila kita hembuskan nafas pada cermin atau gelas.

Gambarajah Paru-Paru

8 Jenis Penyakit Yang Berkaitan Sistem Respirasi Manusia

Indeks kualiti udara dan alam sekitar semakin menurun dari hari ke sehari. Tertumpu di bandar-bandar utama, tahap pencemaran udara semakin kritikal dan amat mengganggu kesihatan.

Pencemaran asap jentera dan kenderaan, sisa asap oksidasi kilang, pembakaran terbuka serta sekecil-kecil tabiat menghembus asap rokok ke ruang udara adalah antara punca utama berlakunya implikasi negatif berkaitan penyakit sistem respirasi manusia.

Atas dasar kesemua sumber negatif ini, berikut disenaraikan 8 jenis penyakit kronik yang berkaitan dengan sistem respirasi manusia:

#1 – Asma atau Lelah

Merupakan penyakit immunologi disebabkan oleh masalah kesukaran bernafas. Ia boleh jadi berlaku sangat jarang atau tiba-tiba menjadi kerap pada suatu ketika dan kondisi tertentu pesakit.

Ketika asma menyerang, berlaku keradangan dan kekejangan otot (spasma) pada selaput dinding; menyebabkan bronkiol di dalam paru-paru menjadi tebal dan sempit. Ia turut menyebabkan saluran pernafasan menyempit dan menghalang proses respirasi normal.

Kanak-kanak lebih mudah mengalami asma berbanding orang dewasa. Bagi asma sederhana, 50 hingga 60% asma akan hilang apabila meningkat dewasa. Lebih kurang 20% pula akan mengalami asma berterusan dan hanya sebilangan kecil dikatakan akan sembuh.

#2 – Penyakit Paru-paru Kronik (COPD)

Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) atau penyakit paru-paru kronik secara amnya merujuk kepada masalah saluran pernafasan yang berlaku secara berterusan dan dalam jangkamasa yang panjang (kronik).

Pesakit menunjukkan simptom atau tanda-tanda awal COPD apabila kerap bernafas tercungap-cungap, berkahak keterlaluan dan batuk kronik, berlaku berterusan lebih dari sebulan.

Lebih buruk lagi, pesakit COPD dikatakan mempunyai peratusan yang rendah untuk sembuh melalui kaedah pengubatan. Antara jenis-jenis COPD ialah bronkitis kronik dan emfisema.

Mereka yang berumur lewat 40 tahun ke atas lebih mudah untuk mengalami COPD, namun simptom awal penyakit paru-paru kronik juga turut tetap bebas menyerang golongan muda.

#3 – Bronkitis

Bronkitis terbahagi kepada dua; kronik dan akut. Bronkitis kronik tergolong di dalam penyakit paru-paru kronik atau COPD dengan batuk berkahak yang keterlaluan.  Bronkitis akut lebih kepada jangkitan yang disebabkan oleh virus.

Bagi kedua-dua kes, ia menunjukkan kesan keradangan membran mukus pada dinding saluran bronkiol dan menyebabkan pembengkakan serta menyekat saluran pernafasan.

Pesakit mengalami masalah kesukaran untuk bernafas atau sesak dada ketika bernafas dan sering kekurangan oksigen.

Bezanya, bronkitis akut mempunyai peluang sembuh lebih tinggi apabila jangkitan semakin reda dalam masa beberapa minggu. Sebaliknya bagi bronkitis kronik yang mengambil masa lebih dari sebulan atau mungkin kaedah perubatan diperlukan untuk seumur hidup.

#4 – Emfisema

Merokok dikatakan sebagai 90% punca utama berlakunya emfisema selain masalah genetik. Emfisema diklasifikasikan di bawah penyakit paru-paru kronik yang memberi peluang rendah untuk sembuh atau mungkin perlukan bantuan perubatan sepanjang hayat.

Emfisema berlaku apabila dinding pundi-pundi udara (alveoli) semakin lemah atau rosak untuk menjalankan fungsi pengecutan dan pengembangan bagi proses pengambilan oksigen dan pengeluaran karbon dioksida melalui salur darah. Sumber kerosakan ini datang daripada toksin yang wujud di dalam asap rokok.

Kerosakan dinding alveoli ini adalah kekal, sukar untuk dipulihkan dan menyebabkan kecekapan mekanisma pernafasan semakin menurun atau kesukaran bernafas. Pundi udara (sekumpulan kecil atau besar) boleh sama ada rosak keseluruhannya, menjadi sempit, membesar, bocor atau pecah.

gambarajah Alveoli Pundi Udara

#5 – Kanser Paru-Paru

Kanser paru-paru adalah penyebab utama kematian di Asia, nombor satu bagi lelaki dan punca kematian kedua terbanyak bagi wanita. Bagi keseluruhan populasi dunia dikatakan lebih 51% kes kanser paru-paru berlaku di benua Asia!.

Kanser boleh mula terbentuk di mana sahaja bahagian paru-paru dan amat sukar dikesan pertumbuhannya pada peringkat awal. Mutasi DNA menyebabkan kerosakan sel paru-paru dan ia menduplikasi membentuk sel abnormal atau sel tumor yang tidak terkawal pertumbuhannya.

Simptom kanser paru-paru bermula dengan tanda-tanda seperti batuk kronik, perubahan suara, bunyi nafas yang kasar, batuk berdarah dan sebagainya. Ia mengambil masa yang lama atau bertahun-tahun diperlukan untuk kita sedar akan kewujudan perkembangannya.

Terdapat banyak punca tercetusnya permulaan pembentukan kanser seperti akibat proses penuaan, tersedut gas radon atau fiber asbestos dan pelbagai lagi. Namun paling ketara sekali adalah disebabkan oleh sengaja menyedut pelbagai gas toksin daripada asap rokok!.

#6 – Cystic Fibriosis

Cystic Fibriosis (CF) melibatkan sebahagian kecil kes atau jarang berlaku di Malaysia. Namun tetap dikategorikan sebagai kronik kerana berjangkamasa panjang. Ia berpunca daripada masalah genetik yang berisiko hadir bersama dengan bayi tertentu yang baru lahir.

Kecacatan gen ini menyebabkan pengawalan proses penyerapan garam ke dalam dan keluar tubuh terganggu. Peningkatan kandungan garam menyebabkan air terhalang untuk diserap ke dalam sel tubuh serta menggalakkan lebih pembentukan mukus.

Lapisan mukus terbentuk di dalam paru-paru, sistem penghadaman dan beberapa organ lain. Lapisan mukus ini terbentuk berulangkali, berbahaya, menyebabkan jangkitan paru-paru serta menghalang fungsi pankreas untuk mengeluarkan enzim bagi proses pencernaan nutrien penting pemakanan.

Simptom sistik fibrosis termasuklah seperti kulit rasa bergaram, batuk kronik, kekerapan berlakunya jangkitan paru-paru, pertumbuhan kanak-kanak terbantut dan sebagainya.

#7 – Pneumonia

Pneumonia atau radang paru-paru berkaitkan dengan masalah jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh virus, bakteria, fungi atau parasit. Pneumonia menyebabkan keradangan pada pundi-pundi udara atau alveoli yang dipenuhi dengan cecair.

Bakteria dan virus adalah penyebab utama pneumonia yang paling bahaya. Apabila jangkitan berlaku, kuman akan duduk di dalam pundi-pundi udara paru-paru dan membiak. Sistem pertahanan tubuh akan menghantar lebih sel darah putih untuk melawan jangkitan ini. Hasilnya pundi-pundi udara ini akan dipenuhi oleh cecair dan “PUS” (Protein-rich fluid).

Penghidap pneumonia boleh sembuh dalam masa 1 hingga ke 3 minggu. Tetapi jangkitan pneumonia ini mampu mengancam nyawa jika dibiarkan berlarutan. Simptomnya melibatkan batuk atau batuk berkahak,  demam panas, demam menggigil dan sesak nafas yang berkadar biasa atau kronik.

Pneumonia boleh dikawal melalui aspek penjagaan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan kaedah pengambilan vaksin untuk demam atau vaksin khas untuk pneumonia.

#8 – Alahan atau Alergi

Alahan adalah antara permasalahan kronik penyakit sistem respirasi manusia dan ramai yang menghidapinya. Alahan berlaku apabila kekeliruan sistem imun tubuh menganggap unsur-unsur biasa disekeliling sebagai penceroboh pembawa jangkitan penyakit.

Sistem imun bertindak merembeskan histamin berlebihan atau tanpa sebab bahaya dan mencetuskan alergi. Antara unsur-unsur pencetus alahan ini adalah seperti debunga, debu habuk, makanan, bahan kimia, sengatan serangga, bulu haiwan, kulat dan sebagainya.

Reaksi ini melibatkan simptom yang pelbagai termasuk resdung dan rhinitis; yang mengganggu hidung, rongga sinus, tekak dan paru-paru. Juga membawa ancaman kepada nyawa jika tidak dirawat sebaiknya.

Erti Sebuah Kesedaran

Terdapat pelbagai jenis penyakit sistem respirasi manusia lain yang tidak disenaraikan di sini, seperti tuberkulosis (tibi atau batuk kering), influenza dan selesema.

Paru-paru kita adalah organ yang sangat unik dalam sistem respirasi manusia. Ia kompak dan kompleks jalan kerjanya. Sekali ia rosak, sangat sukar untuk diperbaiki mahupun ditukarganti. Oleh itu, ia sangat perlukan pemerhatian, kesedaran dan penjagaan daripada diri kita sendiri.

Umum mengetahui, tabiat merokok telah menyebabkan ramai orang mengalami pelbagai masalah kesihatan yang kronik termasuk berkaitan paru-paru. Kita sebenarnya mampu untuk berhenti merokok jika mempunyai kesedaran yang tinggi akan bahaya dan kesan negatifnya.

Baca Juga >> Kesan Berhenti Merokok Yang Kita Perlu Tahu

Terdapat juga makanan yang bersesuaian untuk cuci paru-paru yang mudah didapati dan boleh kita amalkan. Tiada yang lebih penting daripada sebuah kesedaran. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Sayangi Paru-paru Anda”

“Berhentilah Merokok Demi Masa Depan”

Facebook Comments:
Awasi 8 Jenis Penyakit Sistem Respirasi Manusia Yang Paling Kronik Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published.