Tahukah anda, kita masih boleh hidup normal dengan hanya 20% fungsi buah pinggang sahaja?

Sebab itu, kebanyakan daripada kita tidak sedar buah pinggang kita perlahan-lahan semakin menurun fungsinya dan cepat rosak secara senyap tanpa disedari.

Apabila berlaku ketidakabnormalan pada tubuh, baru kita sedar dan buah pinggang sudah terlambat untuk diselamatkan.

Buah pinggang adalah organ yang sangat hebat dalam kelasnya. Ia mengeluarkan hormon, menapis darah, menyerap mineral, menyingkirkan urin (air kencing) dan mengawalselia keseimbangan asid-alkali dalam tubuh kita.

Apabila buah pinggang kita mula rosak dan gagal berfungsi, episod dalam hidup kita semakin menjadi sukar dan terlalu susah. Tidak kurang juga, ramai yang berputus asa dengan ketentuan ini.

Sebenarnya, kita perlu kesedaran dua kali ganda untuk menjaga kesihatan buah pinggang kita sebelum tanda-tanda sakit buah pinggang itu muncul.

Jom bertindak awal, cuba kita siasat 10 tabiat merosakkan buah pinggang berikut yang mungkin kita dah terbiasa dan suka buat. Kalau ada, insafkan diri dan berhenti secara perlahan-lahan. Inshaa Allah selamat.

Tabiat Merosakkan buah Pinggang

#1 – Suka Makan Makanan Bergaram 

Garam juga disebut sebagai sodium klorida. Biasanya kandungan sodium dinyatakan dalam label nutrisi pada pek makanan. Jika tidak tertera pada label, boleh lihat senarai jumlah kandungan sodium dalam garam ini.

Jumlah Garam (g*)Kandungan Sodium (mg)Istilah / Persamaan
1400Secubit garam
1.25500Suku (1/4) sudu teh garam
2.39201/3 sudu teh garam
2.51000Setengah (1/2) sudu teh garam
416003/4 sudu teh garam
520001 sudu teh garam
624001 suku (1 1/4) sudu teh garam
1040002 sudu teh garam
1248002 setengah (2 1/2) sudu teh garam

*Nota: 1 gram (g) = 1000 miligram (mg)

Kita disarankan supaya hanya mengambil sodium kurang daripada 2300 mg dalam sehari bagi orang dewasa. Ini menyamai 6g garam atau bersamaan 1 sudu teh garam.

Diet tinggi sodium sama ada dalam bentuk garam atau garam tersembunyi dalam makanan yang diproses boleh memberi masalah yang serius terhadap kesihatan.

Tubuh menyingkirkan lebihan cecair dari darah menerusi fungsi buah pinggang. Proses ini berlaku secara osmosis untuk mengeluarkan air berlebihan dari dalam darah.

Proses ini memerlukan keseimbangan sodium dan potassium untuk mengeluarkan air merentasi dinding aliran darah ke pusat pengumpulan air berlebihan iaitu pundi kencing.

Pengambilan garam yang tinggi akan mengganggu keseimbangan sodium-potassium-air ini. Maksudnya bila lebih garam, tubuh juga terpaksa menyimpan lebih air (penyebab edema atau bengkak anggota badan).

Tandanya, garam membuatkan kita cepat haus sebagai refleks tubuh untuk memperbaiki keseimbangan cecair dalam darah.

Kandungan garam tinggi ini memaksa buah pinggang bekerja keras untuk menyingkirkan lebihan air dari dalam darah. Kerja keras ini adalah penyebab utama berlakunya masalah tekanan darah tinggi.

Dari masa ke semasa, fungsi buah pinggang akan menurun dan akan merosakkannya. Pada saat ini ia menjadi penyakit buah pinggang.

Jika tidak diatasi segera, ia boleh membawa kepada kegagalan fungsi buah pinggang secara total.

#2 – Suka Makan Benda Manis

Sebagaimana semut, kita juga sangat sukakan gula. Gula memberi rasa manis pada minuman dan penyedap kepada makanan. Tapi awas, manis itu tidak selamanya membahagiakan.

Had pengambilan gula harian:

>> Lelaki : 150 kalori per hari (37.5 g atau bersamaan 9 sudu teh)

>> Wanita: 100 kalori per hari (25 g atau bersamaan 6 sudu teh)

Gula tidak mendatangkan kesan bahaya selagi ia tidak meningkatkan Paras Gula Dalam Darah. Apabila paras gula darah ini mula melepasi had 180mg/dl, buah pinggang terpaksa membuang gula berlebihan melalui air kencing.

Lebih tinggi paras gula dalam darah, lebih banyak gula akan disingkirkan. Dari situ kita juga akan mula mendapat risiko kencing manis atau diabetes.

Diabetes yang tidak terkawal berpotensi menyebabkan dinding salur darah dan penapis halus (glomerulli) yang terdapat di dalam buah pinggang menjadi cepat bocor atau rosak. Pada takat ini, buah pinggang semakin lemah dan tidak lagi berupaya melakukan fungsinya dengan efisien.

Kerosakan komponen buah pinggang menyebabkan darah tidak dapat dicuci dengan sempurna. Bermakna lebih air & garam berlebihan, bahan buangan dan toksin akan terkumpul di dalam badan dan tidak dapat disingkir keluar secara semulajadi.

Boleh bayangkan apa kesan natijahnya? Sayangi buah pinggang kita. Kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman.

#3 – Tidak Suka Minum Air Kosong

Kebaikan Air Kosong vs Keburukan Air Berkarbonat

Air sangat penting kepada fungsi sistem buah pinggang. Buah pinggang normal menapis lebih kurang 120 – 150 quarts (1 quarts = 0.946 liter) cecair sehari.

Daripada jumlah ini, 1 – 2 quarts akan disingkirkan dalam bentuk urin (air kencing) dan selebihnya 198 quarts akan kembali ke dalam aliran darah.

Buah pinggang sentiasa terdedah kepada risiko penyakit kronik. Salah satunya akibat Jangkitan Saluran Kencing atau Urinary Tract Infection(UTI), jenis jangkitan kedua paling banyak dan mudah berlaku dalam tubuh.

Minum air kosong yang mencukupi adalah cara paling mudah untuk mengatasi masalah ini. Banyak kelebihan minum air kosong dan manfaat yang boleh diperolehi hanya dengan minum air kosong.

Tabiat kurang minum air juga boleh menyumbang kepada masalah batu karang dan masalah dehidrasi. Kedua-dua masalah ini secara tidak langsung turut berpotensi membawa risiko penyakit buah pinggang kronik jika tidak ditangani sebaiknya.

Berapa banyak air kosong kena minum sehari?

Rekomendasi dari Institut of Medicine (IOM), memadai:

>> 13 cawan air (3 liter) bagi lelaki

>> 9 cawan air (2.2 liter) bagi wanita

#4 – Suka Menahan Kencing

Menahan kencing atau menangguhkan pembuangan air kecil sangat tidak baik untuk kesihatan buah pinggang. Kencing dengan cara yang betul dan pada masa yang sesuai adalah perlu dipraktikkan.

Kerap menahan air kencing boleh meningkatkan tekanan pada urin dalam pundi kencing. Tindakan ini juga berisiko menyebabkan kegagalan buah pinggang dan masalah kencing tidak terkawal (atau kebocoran air kencing) di kemudian hari.

Menahan kencing boleh mengumpulkan sisa perkumuhan dan toksin yang sepatutnya perlu dikeluarkan dengan segera.

Risikonya boleh menyebabkan pembentukan batu karang di dalam buah pinggang yang sangat menyakitkan.

#5 – Suka Ambil Painkiller

Setiap hari kita terdedah kepada pelbagai ancaman jangkitan virus dan penyakit. Dan setiap penyakit mempunyai kaedah pengubatan dan rawatan yang berbeza.

Pengambilan ubat tanpa preskripsi yang betul daripada doktor, cenderung membawa kepada penyalahgunaan dan boleh mendatangkan bahaya kepada buah pinggang.

Ramai yang mempunyai tabiat gemar mengambil pil analgesik (painkiller atau pil tahan sakit) sama ada untuk menahan sakit, mengurangkan demam dan inflamasi (keradangan) walaupun kadangkala ia tidak perlu. Tidak berjumpa doktor, beli di farmasi dan makan dos berlebihan.

Kajian menunjukkan ubatan analgesik boleh menurunkan kadar aliran darah ke buah pinggang dan mengurangkan fungsi buah pinggang. Kesan jangka panjang, kekerapan pengambilannya boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang secara akut (sementara) atau kronik (berpanjangan).

Jadi bila sakit dan rasa perlukan ubat, sila dapatkan nasihat doktor dan fahami jadual preskripsi ubat yang diberikan sebelum pengambilan.

Opps… Selain itu rawatan secara alternatif seperti pengambilan herba atau suplemen juga perlukan pemerhatian. Dapatkan konsultasi dan pilih herba atau suplemen yang ada kajian dan dijamin selamat dan berkesan.

#6 – Suka Ambil Diet Tinggi Protein

Pengambilan protein secara berlebihan dalam diet pemakanan harian juga boleh menyebabkan masalah buah pinggang cepat rosak.

Makanan tinggi sumber protein terutamanya dari sumber haiwan seperti daging merah, daging putih dan makanan laut perlu dikawal pengambilannya. Lebih-lebih lagi dalam bentuk makanan terproses kerana ia hadir bersama pelbagai bahan penyedap tambahan.

Lebihkan jenis makanan rendah protein daripada sumber tumbuhan dalam diet pemakanan. Contohnya seperti tempe, tauhu (tofu), susu protein soya, kekacang dan sayuran.

Bukan protein haiwan itu tidak elok, cuma perlu kawal pengambilannya. Contohnya; gabungan roti whole grain bersama telur dan sayur itu sangat baik sebagai menu sarapan.

Kuncinya; kenalpasti jenis dan jumlah keperluan protein harian kita. Ia juga bergantung kepada umur, jantina, kondisi kesihatan dan tahap aktiviti seharian kita.

Dietary Reference Intake (DRI) menyarankan pengambilan protein sebanyak 0.8 gram bagi setiap kilogram berat tubuh, atau 0.36 gram per pound. Atau secara purata:

>> 56 gram bagi lelaki dewasa

>> 46 gram bagi wanita dewasa

#7 – Ketagih Kepada Kafein

Kafien seumpama dadah halal dalam diet harian pemakanan kita. Mana tidaknya, ia boleh mendatangkan ketagihan.

Siapa yang tidak gemarkan kopi atau teh atau air minuman berkarbonat (sekadar beberapa contoh utama)? Ehh tak nak mengaku tapi tangan automatik terangkat kan.

Semua orang sukakan kopi, takpun teh. Tetapi bahaya minuman berkarbonat perlu lebih diawasi. Pengambilan kafein secara berlebihan boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang.

Batu karang jenis Kalsium Oxalate antara yang mudah terjadi dalam kalangan kita dan ia melibatkan pengambilan kafein sebagai antara puncanya.

Kawal pengambilan kafein anda. Biarkan kopi atau teh anda tipis rasanya dan penting tanpa gula!.

Jika tidak, masakan doktor sarankan supaya hentikan atau kurangkan pengambilan kafein bila kita mula didiagnosis dengan penyakit tekanan darah tinggi atau kencing manis? Berjaga-jaga sebelum terkena. Semuanya berkaitan dengan masalah buah pinggang.

#8 – Kuat Menghisap Rokok

Banyak dah nasihat tentang berhenti merokok ini lebih banyak mendatangkan kesan buruk berbanding kebaikan (hampir 0) kepada kesihatan.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC), tabiat merokok memberi kesan buruk hampir kepada seluruh organ dalam tubuh termasuk buah pinggang. Malah, beberapa kajian menunjukkan kaitan antara tabiat merokok dan penyakit buah pinggang adalah positif.

Merokok meningkatkan tekanan darah dan kadar denyut jantung (heart rate) secara automatik yang boleh membawa kepada potensi penyakit kencing manis dan serangan jantung jika tidak dikawal.

Merokok boleh mengganggu kesan ubat yang diambil untuk merawat masalah tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi yang tidak dikawal mendorong kepada punca kerosakan buah pinggang.

Merokok juga boleh melemahkan aliran darah ke seluruh organ tubuh terutamanya buah pinggang yang berfungsi untuk mencuci darah. Lebih buruk lagi, kualiti darah yang menurun menyebabkan penyakit lain menjadi lambat untuk sembuh.

Oleh kerana merokok sangat tidak baik untuk kesihatan, inilah masanya untuk berhenti merokok. Kembalikan kesan positif berhenti merokok dalam hidup anda. Anda boleh dapatkan sokongan kawan, ahli keluarga dan pakar kaunseling untuk tujuan ini.

#9 – Suka Tidur Lewat

Kurang tidur atau mengalami masalah sukar untuk tidur, juga disebut insomnia mungkin boleh menyebabkan masalah kepada buah pinggang terutamanya bagi wanita.

Begitulah hasil kajian Bringham dan Women Hospital di Boston, Massachussetts yang diketuai oleh Dr. Ciaran McMullan mengatakan:

Wanita yang tidurnya hanya 5 jam atau kurang, mempunyai 65% risiko lebih tinggi untuk mendapat masalah penurunan fungsi buah pinggang, berbanding mereka yang tidur 7 hingga 8 jam sehari pada waktu malam.

Sekitar 20 tahun yang lalu, warga Amerika dapat tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Tetapi kini, tempohnya semakin berkurangan dan rata-ratanya mereka hanya dapat tidur lebih kurang hanya 6.5 jam sehari.

Ketika kita rehat tidur, tubuh dapat berfungsi dengan lebih baik dan selesa. Ini termasuk meningkatkan fungsi buah pinggang mencuci darah dan menjalankan fungsi-fungsi lain.

Namun gangguan tertentu seperti ketagihan gadget telefon, sengaja kerap tidur lewat, masalah penyakit seperti tekanan darah tinggi & masalah jantung, tabiat yang tidak sihat seperti mengambil kafein & makanan berat sebelum tidur; dan pengambilan ubat tertentu boleh memburukkan lagi risiko terhadap buah pinggang.

Ubah tabiat tidur yang buruk ini (punca yang boleh dikawal) dapat mencegah masalah buah pinggang cepat rosak dan memperbaiki fungsinya.

 

Facebook Comments:
Awas! 9 Tabiat Merosakkan Buah Pinggang Yang Orang Kita Selalu Suka Buat

Leave a Reply

Your email address will not be published.