Diabetes Semasa Hamil atau Gestational Diabetis Melitus (GDM) berpotensi untuk dialami oleh setiap ibu hamil. Ia berlaku apabila paras glukosa (atau gula) dalam darah lebih daripada keadaan normal semasa melalui fasa kehamilan.

Peningkatan paras glukosa ini jika tidak dikawal atau dirawat sebaiknya, boleh mendatangkan risiko bahaya kepada ibu hamil dan juga bayi yang bakal dilahirkan.

Ketahui dengan lebih mendalam apa itu diabetes semasa kehamilan atau GDM dan bagaimana ia berlaku?. Infonya ada disediakan di dalam artikel ini.

diabetes-semasa-hamil

Simptom atau Tanda-Tanda GDM

GDM tidak menunjukkan simptom jelas kepada ibu mengandung tidak seperti Diabetes jenis lain (diabetes jenis 1 dan jenis 2) yang menunjukkan tanda-tanda yang lebih ketara.

Dalam siri pemeriksaan kesihatan yang telah diaturkan oleh badan kesihatan tempatan, kebiasaannya ibu hamil akan melalui pemeriksaan GDM pada fasa kehamilan antara minggu ke-24 dan 28. Antaranya ialah Ujian Pemeriksaan Darah dan Ujian Toleransi Glukosa (GTT). Daripada pemeriksaan ini, barulah ibu hamil boleh dikenalpasti sama ada mempunyai GDM atau bebas daripadanya.

       GDM biasanya dikesan pada minggu ke 24 hingga minggu ke 28 kehamilan dan berlaku kepada hampir 20 peratus wanita hamil setiap tahun. Jika tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi yang dikandung.

– Datuk Prof. Mustaffa Embong

Bacaan glukosa dalam darah untuk mengenal pasti ibu mungkin mengalami diabetes semasa hamil:

Ujian Pemeriksaan DarahBacaan Tidak Normal
mg/dLmm/mol
Berpuasa> 95> 5.3
Selepas 1 Jam> 180>10.0
Selepas 2 Jam> 155> 8.6


Bacaan kandungan gula yang normal bagi wanita hamil untuk mengawal GDM:

Ujian Toleransi GlukosaBacaan Glukosa Normal
mg/dLmm/mol
Berpuasa965.4
Selepas 1 Jam1407.8
Selepas 2 Jam120 ~ 1276.7 ~ 7.0

Punca dan Risiko GDM

GDM berpotensi berlaku apabila tubuh tidak mampu menghasilkan hormon insulin yang mencukupi untuk metabolisma glukosa dalam darah. Insulin berfungsi untuk mengubah glukosa kepada tenaga dalam sel untuk manfaat utama tubuh. Tanpa insulin, paras glukosa boleh meningkat sehingga melebihi tahap normal yang menjadi punca utama kepada Diabetes termasuk GDM.

Semasa fasa kehamilan semakin berkembang (seawal minggu ke 15), glukosa dalam GDM boleh meningkat disebabkan oleh pertambahan hormon yang dirembeskan oleh plasenta dalam perut ibu mengandung. Ia disebut sebagai hormon HPL (Human Placental Lactogen). Ia berfungsi sama seperti hormon pertumbuhan (yang membantu pertumbuhan bayi), tetapi sebenarnya ia juga mengubah paras metabolisma dalam tubuh si ibu untuk memproses karbohidrat dan lipid (lemak) untuk keperluan tenaga.

Hormon ini juga berupaya meningkatkan paras glukosa dalam darah yang menjadikan tubuh ibu hamil kurang sensitif kepada insulin dengan tujuan supaya bayi mendapat nutrien yang mencukupi sepanjang lengkuk pertumbuhan hasil daripada peningkatan glukosa ini.

Namun, peningkatan sedikit paras glukosa daripada biasa sememangnya normal bagi ibu mengandung akibat hormon yang dihasilkan oleh plasenta. Namun ia patut berada dalam paras yang terkawal.

Komuniti bidang perubatan masih tidak pasti secara jelas mengapa wanita hamil boleh menghidapi GDM. Namun beberapa faktor risiko berikut mungkin ada kaitan dengan kewujudan potensi GDM ini:

  • Umur : Secara statistik, Wanita berumur 25 tahun atau lebih, lebih berisiko menghidapi diabetes atau GDM semasa hamil

  • Berat Badan : Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau BMI (Indeks Jisim Tubuh) lebih daripada 25 juga mudah mempunyai risiko GDM semasa hamil.

  • Sejarah Keluarga : Wanita yang mempunyai sejarah atau keturunan keluarga penghidap diabetes (jenis 1, jenis 2 atau GDM) lebih berisiko turut memilikinya.

  • Pra-Diabetes : Pada peringkat diagnosis awal diabetes, wanita yang mempunyai potensi untuk memiliki paras glukosa yang tinggi dalam darah tetapi belum diklasifikasikan sebagai penghidap diabetes. Jika hamil, mungkin mereka bakal mendapat risiko diabetes GDM.

  • Sejarah GDM pada Kehamilan Lalu : Pernah memiliki anak dan juga GDM. Tidak mustahil untuk memiliki risiko GDM sekali lagi dan pada kehamilan seterusnya.

Risiko GDM Kepada Bayi

Apabila telah disahkan kita memiliki GDM, secara automatiknya kita perlu berusaha mengawal paras glukosa dalam darah kita. Bantuan khidmat nasihat pakar sangat membantu dalam langkah ini.

Jika paras gluosa tidak dikawal dalam jangkamasa yang lama, mungkin beberapa komplikasi buruk boleh berlaku kepada ibu hamil dan juga bayi dalam kandungan.

Antara komplikasi atau risiko kepada bayi yang boleh berlaku akibat kesan GDM semasa kehamilan atau selepas kelahiran ialah:

  • Pertumbuhan Berlebihan (Makrosomia) : GDM boleh memyebabkan bayi bersaiz besar atau memiliki lemak badan berlebihan. Memberi lebih cabaran atau kesukaran untuk kelahiran secara biasa atau mendatangkan kecederaan anggota bayi (seperti bahu) jika dipaksa keluar. Memerlukan kaedah Caesaerean jika terpaksa atau mungkin lebih baik.

  • Paras Glukosa Darah Rendah (Hypoglycemia): Sebaik sahaja selepas kelahiran, paras glukosa dalam tubuh bayi mungkin akan menurun sehingga ke paras paling rendah kerana kandungan hormon insulin yang tinggi dalam badan. Ia berlaku akibat mekanisma perubahan persekitaran yang sudah tidak sama seperti di dalam rahim ibu yang ada bantuan tindakbalas insulin-glukosa. Jika hypoglysemia terjadi, bayi akan diberikan air glukos untuk menaikkan paras glukosa dalam darah. Kebiasaanya pemberian susu ibu secara terus lebih membantu dan efektif dalam menangani hal ini.

  • Kesukaran Bernafas (Sindrom Distress Respirasi): Kadangkala selepas kelahiran, bayi mungkin akan mengalami masalah kesukaran bernafas jika ibu berisiko memiliki diabetes GDM. Setelah bantuan pernafasan dan paru-paru menjadi semakin kuat, masalah ini akan beransur pulih.

  • Gangguan Pertumbuhan Jangka panjang selepas kelahiran: Hasil kajian menunjukkan bahawa anak daripada ibu yang memiliki masalah diabetes atau GDM akan mempunyai risiko masalah pertumbuhan seiring pertambahan usia. Masalah pertuturan lambat dan masalah kawalan motor anggota badan adalah antara risikonya.

  • Pembawa Sejarah Diabetes Keluarga: Anak yang memiliki sejarah daripada ibu GDM mungkin turut bakal memiliki masalah diabetes di dalam kehidupannya.

Risiko GDM Kepada Ibu Hamil

GDM tidak membawa petanda jelas di awal permulaannya sehingga mendapat diagnosis daripada doktor, melainkan anda sememangnya penghidap diabetes jenis 1 atau jenis 2.

Antara komplikasi risiko yang mungkin bakal dihadapi oleh ibu hamil adalah:

  • Tekanan Darah Tinggi – GDM boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi semasa hamil.

  • Kesukaran Melahirkan Bayi – Kaedah C-section mungkin membantu ibu GDM melahirkan bayi yang bersaiz besar (rujuk point 1: risiko GDM kepada bayi di atas).

  • Diabetes Jenis 2 – Kesan jangka panjang GDM mungkin bakal membawa ibu selepas kelahiran bayi ke peringkat diabetes yang lebih serius.

Kaedah Untuk Menangani Diabetes semasa hamil

OK, sebaiknya langkah mengelakkan GDM semasa hamil seeloknya dilakukan lebih awal walaupun kita tidak mengandung. Kerana diulangi, GDM hanya boleh dikesan selepas diagnonis doktor pada fasa kehamilan tertentu.

Antara perkara yang boleh membantu untuk mengelak GDM semasa hamil ialah:

  • Jaga Nutrisi Pemakanan – Sebelum ini kita tahu bahawa “Kita adalah apa yang kita makan”. Bagi ibu hamil, ia lebih lagi: “Bayi kita makan apa yang kita makan”. Jadi ambil kira apa yang baik untuk kita dan juga bayi bagi mengelakkan paras glukosa yang tinggi dalam darah secara berlebihan. Pengambilan suplemen vitamin untuk ibu hamil dan GDM turut boleh membantu mengatasi masalah ini.

  • Selalu Bersenam – Senaman atau beraktiviti aktif secara sihat mampu merangsang tubuh untuk memanfaatkan lebih glukos. Lebih baik berbanding aktiviti pasif yang memaksa tubuh bekerja keras menghasilkan insulin untuk mengekalkan paras glukosa normal. Kesan sampingan kawalan glukosa ini turut membantu mengawal berat badan berlebihan ketika hamil, tidur atau rehat yang lebih berkualiti dan memperbaiki perubahan mood.

  • Kaedah Perubatan/Suntikan Insulin – Mungkin setelah penjagaan pemakanan dan amali senaman, kita terpaksa memerlukan lebih kawalan paras glukosa dalam darah. Preskripsi insulin atau kaedah perubatan lain mungkin juga boleh membantu. Oleh itu, nasihat dan pantauan daripada doktor adalah amat diperlukan.

Adakah GDM Boleh Pulih Selepas Kelahiran?

Secara normal, sepatutnya masalah GDM akan beransur pulih selepas kelahiran bayi. Biasanya selepas 6 minggu kelahiran, doktor akan terus melakukan pemantauan paras glukosa ibu untuk menentukan sama ia telah kembali ke paras selamat atau sebaliknya.

Jika bebas daripada GDM, Alhamdulillah. Jika tidak, ibu mungkin seterusnya akan berisiko diklasifikasikan bakal mempunyai diabetes jenis 2.

     Selepas kelahiran bayi, kebanyakan wanita 90% hingga 95% kembali sembuh daripada GDM. Sebahagian kecil pula antara 5% hingga 10% didapati mengidap diabetes jenis 2. Wanita yang mengalami diabetes semasa hamil mempunyai risiko 20% hingga 50% menghidap diabetes dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

– Kementerian Kesihatan Malaysia

Facebook Comments:
Diabetes Semasa Hamil: Risiko Kepada Ibu dan Bayi Yang Perlu Kita tahu

2 thoughts on “Diabetes Semasa Hamil: Risiko Kepada Ibu dan Bayi Yang Perlu Kita tahu

  • March 4, 2017 at 1:03 pm
    Permalink

    Terima kasih atas perkongsian yang amat berguna ini. Semoga bermanfaat bagi ibu2 yang mengalami masalah yang sama

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.