Para ibu bendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuannya. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya…

–  Al – Baqarah ayat 233

Islam menganjurkan kita untuk memberikan susu ibu kepada bayi yang baru lahir, seelok-eloknya selama 2 tahun.

Jika tidak mampu untuk berikan selama 2 tahun, kita patut berusaha untuk sekurang-kurangnya memberikan susu ibu kepada bayi untuk tempoh 6 bulan pertama.

Kenapa Perlu Beri Bayi Menyusu Pada 6 Bulan Pertama?

Susu ibu sangat eksklusif kepada bayi. Pelbagai khasiat dan keperluan penting susu ibu untuk perkembangan tumbesaran sempurna bayi selepas mereka keluar dari rahim ibu. Apakah keistimewaan susu ibu ini?

Berikut disenaraikan 10 faedah susu ibu kepada bayi yang kita perlu tahu:

+1: Keperluan Nutrien dan Perlindungan

Susu ibu adalah sumber makanan terbaik bagi bayi untuk membesar dan berkembang. Ia memiliki kandungan sempurna protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.

lebih luarbiasa, susu ibu mampu berubah mengikut tahap perkembangan dan kuantiti keperluan pemakanan harian mereka. Formulasi semulajadinya juga amat mudah dicerna dan diserap oleh tubuh si manja bayi.

Susu ibu juga mengandungi agen antibodi yang sangat bernilai untuk perlindungan tubuh bayi daripada jangkitan penyakit serta menurunkan kadar risiko masalah alergi.

Kolostrum, yang wujud pada titisan-titisan awal susu ibu membawa peranan awal meningkatkan sistem pertahanan tubuh bayi. Ia menyelaputi dinding di dalam saluran pencernaan bagi mengelakkan serangan daripada bakteria berbahaya.

Kolostrum menjadi sangat penting jika bayi dilahirkan pra matang. Sokongan susu ibu amat diperlukan bagi membantu survival si bayi.

+2: Perkembangan Fungsi Otak Yang Lebih Baik

Berdasarkan kajian, kanak-kanak yang memperoleh sokongan penuh susu ibu seawal tumbesaran mereka, memiliki skor tinggi dalam ujian IQ.

Malah mereka meunjukkan prestasi yang baik di dalam pembelajaran di taska atau sekolah.

+3: Selesa dan Mudah Alih

Susu ibu sentiasa selamat, sentiasa segar dan sentiasa di dalam suhu yang sangat sesuai untuk penyusuan langsung tanpa perlu dibancuh dan dipanaskan di dalam botol.

Bayi boleh menyusu di mana sahaja tanpa mengira had waktu. Di mana ada pesanan di situ kantung pemakananya ada; terutamanya di waktu malam. Bayi lebih rasa selesa dan penyusuan menjadi mudah alih.

Opps! Awak ibu bekerja? Sila ke point nombor 9.

+4: Saiz Bukan Satu Masalah, hanya Perlu FOKUS!

Tidak kira saiz payudara sama ada kecil atau besar, ia tetap boleh menghasilkan susu ibu. Ia lumrah dan semulajadi.

Payudara mula menunjukkan keupayaan untuk mengeluarkan susu ibu seawal usia kandungan memasuki minggu ke 24. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, hormon akan merangsang payudara untuk meningkatkan pengeluaran secara aktif.

Kemudian, aktiviti supply-and-demand akan mengambil alih untuk meneruskan melakukan kesinambungan ini. Lebih kerap bayi menyusu, lebih aktif produktiviti susu ibu!

Namun sesetengah daripada kita mungkin perlukan sokongan dari segi teknik penyusuan bayi dan kesedaran mengenai kepentingan penghasilan susu ibu.

+5: Kebaikan Berpanjangan Untuk Ibu

Ini mungkin sebab utama mengapa ibu perlu menyusukan bayi.

Kajian pakar mengatakan bahawa ibu yang menyusukan bayi kurang berisiko untuk mengalami masalah kanser payudara dan kanser ovari – pembunuh utama wanita!; dan juga masalah osteoporosis (atau lemah tulang) di kemudian hari.

Tubuh ibu menggunakan sejumlah kalori yang besar untuk proses penghasilan susu. Semasa fasa kehamilan, normalnya berat badan akan naik secara mendadak. Jadi, penyusuan badan secara tidak langsung berupaya membantu ibu melakukan proses penurunan berat badan secara sihat.

Penyusuan bayi secara eksklusif juga membantu melewatkan permulaan semula kitaran haid si ibu, sekurang-kurangnya untuk suatu tempuh tertentu.

+6: Hubungan Mesra dan Erat Bayi-Ibu

Hubungan rapat dan keselesaan penyusuan badan memberi lebih hubungan erat bagi kedua ibu dengan bayi. Hubungan 2 menjadi satu ini juga memberikan lebih rasa selamat dan rasa kasih sayang tanpa batasan; perasaan yang didambakan oleh seorang bayi yang masih kecil.

Pada saat ini, hubungan ibu bapa mungkin boleh mencetuskan rasa cemburu kepada si bayi. Berikan bayi lebih hubungan eksklusif buat sementara. Ayah patut mengalah dalam soal ini, tetapi perlu lebih bijak ok!

+7: Teruskan Penyusuan, Itu Lebih Baik

Kajian menunjukkan susu ibu sangat penting hanya untuk tempoh 6 bulan pertama kehidupan si bayi. Selepas daripada itu, bayi mula terdedah kepada pelbagai jenis sumber makanan lain sebagai sokongan kepada penyusuan susu ibu.

Jangan berhenti! teruskan penyusuan disamping pemakanan biasa harian bayi sehingga umur mereka mencecah 2 tahun. Malahan sangat digalakkan di dalam Islam dan dipersetujui oleh badan dunia seperti Health Canada.

Dunia hari ini cenderung untuk mendedahkan bayi dan kanak-kanak kepada unsur pemakanan yang tidak sihat. Malah tahap kesedaran ibu bapa juga yang semakin berkurangan. Bagaimana tahap kualiti nutrien pemakanan dan pertahanan tubuh anak mereka? Susu ibu sedia membantu permasalahan ini.

+8: Tidak Perlu Hairan Dengan Kenaikan Harga Susu

Dalam hal ini, menteri pun tidak boleh berkata apa. Susu ibu adalah hak eksklusif hanya untuk si ibu dan bayi.

Di zaman serba gawat ini betapa pentingnya untuk menurunkan kos. Kos harian untuk pemakanan bayi dapat dikurangkan dengan penyusuan badan oleh ibu.

Tiada caj tersembunyi dan yang paling penting, sudah tentu ia adalah PERCUMA!

+9: Mudah Untuk Ibu Bekerjaya

Point nombor tiga amat sesuai ibu berstatus surirumah. Bagaimana untuk ibu yang bekerja? Apakah langkah yang boleh diambil untuk menjayakan penyusuan badan sambil bekerja walaupun berjauhan dari bayi?

Sebagai pilihan, susu ibu juga boleh diperah atau EBM untuk kemudahan ibu yang bekerjaya. Cara simpan susu ibu yang mudah dan pantas disediakan di dalam botol juga baik untuk penyusuan secara tidak langsung atau offline.

Begini, ibu dapat kembali bekerja dengan senang hati selepas tamat tempoh cuti bersalin dan bayi tetap boleh teruskan penyusuan. Mudah kan?

+10: Penyusuan Ibu Lebih Mesra Alam

Penyusuan ibu dapat menyelamatkan alam sekitar? Bagaimana?

Pengeluaran susu ibu tidak perlu kilang, mesin, jentera, kenderaan pengangkutan dan juga proses pembungkusan.

Nah, di sini persekitaran tidak akan terjejas dengan menyusukan si bayi. Hebat sungguh anugerah ciptaan ilahi. Makanya, bersyukur dan ucapkanlah Alhamdulillah.

Facebook Comments:
10 Faedah Susu Ibu Kepada Bayi Agar Membesar Dengan Sihat Dan Sempurna

Leave a Reply

Your email address will not be published.