Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah SWT – Tuhan sekelian alam.

Ramadhan semakin hampir berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi. Seronoknya jiwa menanggung rindu menunggu kehadirannya walau hanya setahun sekali.

Kerana hanya yang beruntung dan terpilih sahaja dapat menemuinya sekali lagi buat kali ini. Bersyukur bukannya susah, hanya bukti beribadah. Ucapkanlah Alhamdulillah.

Sebagai insan yang mepunyai iman, tentu banyak persediaan yang ingin dilakukan untuk menghadapinya. Baik dari segi fizikal, mental mahupun spiritual.

Segala apa ganjaran dan peluang perlu direbut sebaiknya kerana itulah anugerah waktu yang sangat makbul diterima segala doa dan amalan serta mensuci dosa.

Namun, sebaliknya kita juga ada perasaan sedikit takut jika apa yang dirancang atau diimpikan dalam misi puasa Ramadhan kali ini mungkin tidak akan memberi perubahan apa-apa.

Apa yang sepatutnya boleh dikawal tiba-tiba terkeluar dari batasan dan terus hanyut hilang kawalan. Takut misi tak tercapai usaha menjadi sia-sia.

OK, dalam sebahagian misi-misi penting Ramadhan ini, ada tergolong perkara-perkara yang kita suka jika dapat melakukanya dengan baik. Ada juga perkara-perkara yang kita takut terjadi sebaliknya apabila menjelangnya bulan Ramadhan.

Jom, sama-sama kita ambil ikhtibar.

Perkara Seronok Vs Perkara Takut Apabila Menjelangnya Ramadhan

#1 – Jimat Belanja Vs Boros

Yang Seronok: Duit belanja kita “save” banyak kerana peruntukan makan di siang hari boleh simpan dalam tabung. Kirakan satu hari kita jimat RM10 sehari, so kita dapat jimat RM300 untuk sebulan berpuasa.

Wah boleh plan untuk beli baju raya, duit raya atau kos balik raya nanti. Kalau bajet alim sikit, sedekahkan je semua kepada yang lebih memerlukan. Alhamdulillah.

Yang Takut: Belanja makan jadi “double” untuk buka puasa. Duit yang patut diselamatkan, dilaburkan ke bazar Ramadhan dengan efisien dan tanpa kawalan. Hasilnya masuk ke perut tanpa belas kasihan tanpa lebihan.

Tambah pulak dah nak dekat raya. Belanja perabih sakan sampai lupa kehidupan selepas raya. Tak tahu duit banyak habis ke mana, termenung jauh menyesal tiada berguna. Awas jerat pembaziran.

#2 – Kurang Makan Vs  Kuat Makan

Yang Seronok: Aktiviti makan kita pada bulan puasa terhad hanya di malam hari dari waktu berbuka hingga ke waktu sahur. Lebih daripada waktu itu, perut kita kurang berisi atau semakin kosong.

Masa untuk perut kita berehat dan re-charge. Perut kempis dan badan pun jadi ringan je.

Yang Takut: Karekter ketika waktu berbuka bergantung kepada individu. Ada yang seronok berbuka dengan makanan yang sederhana.

Ada yang tiba-tiba berubah menjadi singa yang ganas melahap makanan. Habis diet 14 jam kita puasa menahan, habis berbuka kita terlantar pengsan. Bagi turun nasi dulu.

Baca Juga >> Tips Minum Air Mencukupi di Bulan Ramadhan

#3 – Rajin Vs Malas

Yang Seronok: Kita bangun awal pagi, berjaga sebelum subuh hingga ke siang hari. Banyaknya fadhilat kita berpagi-pagian merebut peluang terbukanya pintu-pintu rezeki.

Rajin bersemangat beribadah siang dan malam secara berjemaah di surau atau masjid bagi lelaki atau bersama keluarga. Nikmatnya bulan Ramadhan. Beruntungnya kita jadi umat nabi Muhammad S.A.W.

Yang Takut: Bulan puasa dengan tak puasa lebih kurang sama sahaja. Lepas sahur atau subuh terutama di hujung minggu, tidur semula langsung lajak ke siang hari.

Akibatnya siang hari badan jadi berat untuk lakukan kerja. Langsung malas nak buat apa-apa. Satu penyakit yang memang tiada ubatnya. Cuma AWAS, jangan berjangkit.

#4 – Sibuk Beribadah Vs  Sibuk Hal Dunia

Yang Seronok: Allah membuka pintu rahmatNya yang sangat luas kepada orang yang berpuasa. Ganjaran pahala ibadah diberi berlipat-lipat kali ganda.

Tambahan pula ada ibadah wajib dan sunat yang khusus  untuknya. Nikmatnya mengumpul pahala berpuasa di siang hari dan bersolat tarawikh di malam harinya.

Yang Takut: Tak boleh berhenti, nanti ketinggalan dalam persaingan di arena pentas dunia. Kerja dunia kita tidak kunjung surut. Malah berlipat-lipat kali ganda usaha kita buat untuk menjayakannya.

Sehingga terlupa kepada yang empunya kuasa dan penentu segala. Akhirnya nikmat Ramadhan ditarik begitu sahaja, tanpa membawa apa-apa selain keuntungan dunia semata. Ohh ruginya.

#5 – Berat Turun Vs Berat Naik

Yang Seronok: Kita rancang nak buat pengurusan berat badan secara bersungguh-sungguh dalam tempoh sebulan ini. Uji limit ketahanan tubuh kita dengan aktiviti kurang makan.

Paling tidak kurang 10 hingga 20 kg hilang dalam masa hanya 4 minggu!. Tentu kita orang yang berbeza sebelum dan selepas ramadhan ni.

Makin slim di hari raya, banyak baju boleh fit nampak lebih bergaya.

Yang Takut: Program pengurusan berat badan gagal. Banyak makanan pelik dan rare tapi kita sangat suka muncul di meja-meja bazar Ramadhan. Tak boleh tahan, kita beli semua.

Tambahan lagi, banyak anjuran program berbuka puasa menjelang berakhirnya Ramadhan.  Menu pulak yang tak pernah atau jarang kita rasa di bulan lain.

Sate, ketupat, lemang, laksa kedah, steamboat, shellout, nasi mandy merajai meja-meja hidangan.

Ahh.. rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, bedal je lah. Rugi kalau tak makan ni.  Misi turun berat badan? Emm kita tangguhkan ke bulan lain nanti.

Baca Juga >> Manfaat Tamar Untuk Pengurusan Berat Badan

#6 – Badan Cergas Vs Badan Lemah

Yang Seronok: Badan dah ringan, berat semakin kurang, badan semakin rasa cergas dan lebih sihat. Bacaan darah tinggi, kolesterol dan paras gula menurun jadi normal semula.

Boleh senyum dan rasa muda kembali lagi. Syukur ya Allah beri peluang untuk lebih beribadah. Maka nikmat Allah mana lagi yang kamu dustakan.

Yang Takut: Bagi yang mengalami macam-macam penyakit, ujiannya semakin berat bila datangnya Ramadhan. Kalau berpuasa, sakit jadi lagi teruk terutamanya pesakit GASTRIK.

Maka ada hukum harusnya berbuka bagi pesakit di sini. Hah!? buat-buat gastrik? Mungkin itu kerja orang nakal, sengaja cari alasan tak masuk dek akal. Hehe

#7 – Penutup Aib Vs Penyebar Fitnah

Yang Seronok: Fitnah juga boleh juga didefinisikan sebagai ujian. Fokus beribadah semasa berpuasa boleh menyelamatkan diri daripada aktiviti mengumpat, berkata buruk, memfitnah atau buka aib orang lain.

Kurang menonton TV, bermedia sosial atau lepak-lepak kosong yang kita biasa buat dahulunya juga berkurang di bulan Ramadhan.

Dapat juga kita jauh dari fitnah mulut, mata, telinga dan seluruh anggota badan.

Yang Takut: Semakin bebasnya dunia sosial hari ini, tidak terhad secara realiti malah dalam dunia maya juga, sangat mudah membuka pintu-pintu cerita fitnah kepada kita.

Cerita tular atau viral yang bukan-bukan semakin bermaharajalela di Facebook, Twitter dan segala platform yang seangkatan dengannya.

Tambah pula, kita turut mudah menjadi ejen penyebar atau bersekongkol memberi komentar buruk berkaitannya tanpa sebarang usul periksa.

Sekali terlepas, susah nak “undo” balik, dosa kering berakumulatif sesaja. Jangan disalahkan syaitan, itu memang kerja mereka. Mohon dijauhkan, agar terlepas dari segala seksa.

Selamat Berpuasa & Salam Ramadhan

Rasanya ada banyak point tak masuk lagi, tapi cukuplah yang 7 ini. Sekadar untuk renungan, berhenti sebentar mengingkatkan countdown Ramadhan.

Akhir kata, selamat menyambut bulan puasa. Moga kita semua terlepas dari segala dosa. Semoga mendapat rahmat dan berkat berlimpahan dari-Nya.

Maaf dipinta andai tersilap kata, kekhilafan kita sebagai manusia biasa. Jari disusun, ku mohon ampun.

Salam Ramadhan 2017

Ikhlas & Salam Ramadhan 2017M / 1438H
Admin yourfabulousmama.net

Facebook Comments:
Tazkirah Ramadhan: 7 Perkara Yang Sepatutnya Kita Seronok Tapi Sebenarnya Kita Takut Dalam Misi Menjelangnya Bulan Ramadhan

Leave a Reply

Your email address will not be published.