Ehh..Ramadhan dah dekat. Ingat lagi tak!? Masa bila kita mula-mula belajar puasa dulu?
Hmm…mesti seronok ingat kisah zaman kanak-kanak yang lalu. Lebih-lebih lagi memori pertama kali berpuasa di bulan Ramadhan.
Awal tu penuh semangat, naik pukul 10 mula rasa macam-macam. Ada yang puasa yang yuk, bangun pagi buka periuk. Hehe…kelakar kan.
Naik besar sikit, mula boleh tahan puasa. Walaupun rasa nak pengsan, pitam & longlai sekalipun; tetap nak penuhkan puasa jugak. Mesti ada sebab kita boleh berjaya puasa penuh masa tu kan.
Tapi itu dulu, sekarang kita ada yang dah besar panjang, dah berkahwin dan beranak pinak pun. Kini giliran kita untuk mengajar anak-anak untuk berpuasa.
Mengajar anak berpuasa di bulan Ramadhan memerlukan sedikit usaha, semangat, sokongan dan kesabaran. Zaman sekarang kita perlu kreatif, macam-macam kaedah boleh kita guna untuk ajar anak berpuasa.
Berpuasa bagi kanak-kanak tidak menjadi wajib selagi mereka belum mencapai usia baligh. Namun, usaha pembelajaran boleh dimulakan seawal mungkin, bergantung dengan kemampuan dan kesediaan mereka.
Banyak persoalannya telah dibahaskan berkaitan puasa bagi kanak-kanak baik secara umum atau ilmiah.
Ramai juga yang membahaskan mana patut perlu mula dulu; belajar solat atau belajar puasa? Bagi ibubapa yang bijak dan berilmu, tentu jawapan bagi persoalan ini begitu mudah untuk dihadapi dengan tenang.
Atau, kita boleh tinjau bagaimana di zaman Rasulullah dan para sahabat, mereka mengajarkan anak-anak kecil mereka berpuasa. Penuh hikmah dan keterbukaan.
Oleh itu, jangan jadikan puasa itu beban kepada anak-anak. Bahkan galakkan dan dorongan itu adalah lebih baik bagi mereka.
10 tips berikut boleh membantu kita untuk mengajarkan puasa kepada anak-anak. Inshaa Allah.
Ajarkan anak niat berpuasa Ramadhan yang mudah
Kanak-kanak generasi Z atau dikenali juga sebagai Generasi Internet atau iGeneration kebiasaannya tidak mahu membuat sesuatu tanpa ada fakta atau sebab mengapa mereka perlu melakukan sesuatu perkara.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk menerangkan secara ringkas dan dalam bahasa yang mudah difahami mengapa mereka perlu berpuasa.
Walaupun kita tahu ibadah puasa adalah merupakan amalan wajib, namun adalah lebih baik jika kita dapat menerangkan kepada mereka kebaikan dan faedah yang akan mereka perolehi jika berpuasa.
Ajaran dan penerangan tentang kebaikan berpuasa perlu diberikan sepanjang masa agar ia terakam dan disimpan dalam memori otak mereka.
Latih anak berpuasa ibarat menarik rambut di dalam tepung. Kita tidak boleh memaksa anak yang pertama kali berpuasa untuk berpuasa terus seharian.
Ajar dan beri kelonggaran kepada mereka untuk berpuasa secara berperingkat. Contohnya, jika hari pertama mereka sudah kelihatan tidak mampu menahan lapar, izinkan mereka berbuka pada pukul 10 pagi.
Kemudian, hari ke-2, cubalah tingkatkan kepada berpuasa sehingga zohor dan seterusnya.
Memberi cabaran keada anak-anak juga mampu memberi semangat kepada mereka. Apakata anda beri cabaran berpuasa 30 hari kepada anak anda.
Jika anak dapat bertahan sehingga masuk waktu berbuka, itu merupakan satu kejayaan.
Jangan lupa untuk berilah kata pujian keatas kejayaan dan usaha gigih mereka hatta berbuka pada pukul 10 pagi di hari pertama berpuasa. Mesti mereka berasa semakin bersemangat untuk terus berpuasa.
“Bagus Dhani. Mama kagum dengan Dhani. Dhani berjaya berpuasa sehingga pukul 10 pagi. Hebatnya. Apa kata esok Dhani cuba berpuasa sehingga pukul 1 tengahari, ok?”
Untuk membantu anak-anak bertenaga dan dapat tahan lebih lama, pastikan mereka bersahur.
Ketika bersahur, cuba untuk hidangkan makanan kegemaran mereka tetapi pastikan ia penuh khasiat dan memenuhi keperluan untuk tumbesaran mereka. Jangan skip sahur!
Setelah anak-anak bertungkus lumus berpuasa sepanjang hari atau setengah hari (mengikut kemampuan), berikan reward makanan kegemaran mereka.
Banyakkan buah-buahan dipembukaan sesi sahur dan berbuka adalah langkah terbaik. Ini juga masa terbaik kenalkan mereka dengan kurma atau tamar yang sangat popular di bulan puasa.
Elak makan dengan banyak tetapi makan ajarlah dengan makanlah bijak.
Perut kita kenyang, tapi sel tubuh kita lapar
– Prof. Muhaya
Prof. Muhaya pernah membincangkan tentang perkara di atas. Maksudnya, kita banyak makan mengikut nafsu dan makanan kita banyak yang kurang berkhasiat.
Memang kita berasa kenyang tetapi ia tidak memenuhi seluruh keperluan harian tubuh kita. Dalam ertikata lain, tubuh kita kurang nutrisi.
Jadi, apa perlu buat, terutama ketika mengajar anak berpuasa?
Berikan makanan tinggi karbohidrat, serat dan protein kepada anak anda supaya mereka dapat bertahan lebih lama ketika berpuasa.
Mulalah untuk menggantikan gula putih dengan stevia atau madu. Pastikan madu yang digunakan adalah asli kerana kita tahu kebanyakan madu yang ada di pasaran adalah madu yang telah dicampur dengan gula.
Berikan juga sayur dan buah-buahan untuk memenuhi keperluan vitamin dan zat mineral yang sangat penting untuk tumbesaran dan kesihatan mereka.
Tapi kita tahu, kanak-kanak sangat susah hendak makan sayur dan ada juga yang memilih untuk makan buah. Apa yang kita boleh lakukan, bekalkan mereka suplemen tambahan.
Kanak-kanak memang suka bermain. Bermain meningkatkan skill motor, perkembangan minda dan tubuh mereka. Namun di bulan puasa mungkin permainan lasak seperti permainan outdoor boleh dikurangkan.
Galakkan mereka bermain permainan indoor yang menggunakan tenaga yang minima. Untuk elakkan mereka tidak cepat letih dan penat.
Atau ubah aktiviti aktif ke waktu malam. Menghidupkan malam-malam ramadhan adalah amalan terbaik. Ibadah bertarawikh tentu menjadi perkara yan seronok bagi mereka bersama ibu dan ayah. Boleh lakukan bersama-sama.
Nampak macam seram sebab guna ayat penampakan. Yelah, boleh menggigil & meleleh air liur kalau ternampak iklan makanan bila tengah-tengah rasa perit berpuasa.
Kita yang dewasa pun boleh tergoda dengan pertunjukkan makanan. Apatah lagi bagi kanak-kanak kan.
Kurangkan tengok iklan-iklan makanan yang boleh menggugat misi berpuasa mereka. Maksudnya kurangkan tengok tv la kut ye.
Kurangkan bawa mereka berjalan ke tempat-tempat yang banyak pemandangan tentang makanan, terutamanya fast food atau kedai jajan.
Aiskrim, coklat, ayam goreng tentu mengganggu selera mereka dan sering membuat anak-anak terlupa tentang puasa. Maksudnya bezakan antara bulan puasa dan bulan tak puasa.
Bawa mereka ke pasar ramadhan? Boleh, cuma kawal. Bulan puasa juga boleh meningkatkan masalah food cravings bagi kanak-kanak.
Elakkan beli macam-macam makanan yang biasanya main tunjuk je, tapi akhirnya tidak dimakan dan dibuang begitu sahaja. Makan sedikit ketika berbuka itu sudah memadai bagi mereka.
Simpan makanan kudapan mereka seperti biskut, cereal, tong stok keropok dan sebagainya di tempat yang kurang menjadi spot pencarian mereka.
Mengatasi keterbiasaan ini boleh memanjangkan tempoh ketidakperluan mereka terhadap makan disepanjang tempoh berpuasa terutamanya terhadap makanan ringan. Baik kan?
Masalah hidrasi amat meletihkan tubuh. Sediakan keperluan minuman mereka dengan bijak untuk mengatasi masalah ini.
Sepanjang malam di antara waktu berbuka sehingga waktu sahur, galakkan anak-anak untuk minum air kosong sebanyak yang mungkin.
Pastikan anak anda tidur awal agar mereka mudah untuk bangun bersahur nanti. Untuk membantu mereka tidur dengan lena, berikan susu kepada mereka sebelum mereka tidur.
Tunjukkan kepada anak tentang seronoknya berpuasa dan melakukan pelbagai ibadah di dalam bulan puasa. Galakkan lakukan aktiviti ibadah berama-sama.
Insya Allah anak-anak akan ikut serta. Jangan pula ibu bapa tak berpuasa tapi menyuruh anak berpuasa. Kan dah macam ketam mengajar anaknya berjalan betul tu?
Bulan berpuasa adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri untuk melakukan pelbagai perkara baik, menebus dosa dan meninggalkan segala perkara yang tidak memberi faedah atau lagha.
Disamping itu, ia juga bulan yang baik untuk mengajar anak-anak melakukan ibadah berkaitan solat, puasa, membaca al-quran, sedekah dan sebagainya. Baik dari segi teori dan praktikal sekali.
Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Jadilah ibubapa yang berilmu yang dapat mengajarkan suatu ilmu yang baik terutamanya berkaitan ibadat kepada mereka.
Bermula dengan sekecil-kecil ilmu sudah memadai, dan perlahan-lahan dipertingkatkan mengikut kesesuai perkembangan fizikal dan mental mereka.
Semoga 10 tips yang dikongsikan di atas dapat memberi sedikit idea dan permulaan kepada proses pengajaran dan pembelajaran kita, anak-anak dan keluarga.
Inshaa Allah semoga kita beroleh hidayah, rahmat dan keberkatan Allah di atas jalan kebaikan ini.
Selamat Berpuasa!
Biasa dengar ini? Eat breakfast like a king, lunch like a prince and dinner like… Read More
Percayalah bahawa diri anda dahulu sebenarnya pernah kurus. Tidak mungkin anda tidak boleh untuk kurus… Read More
Makromineral & Mikromineral Apakah itu Makromineral & Mikromineral? Terdapat 2 jenis mineral penting yang sangat… Read More
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa. Hmm.. diam tak diam dah nak sampai hujung… Read More
Mungkin anda pernah mendengar orang bertanya. Bolehkah kita di zaman sekarang ini hidup lebih lama?… Read More
Assalamualaikum dan selamat berpuasa semua! Hmm... Hari ini tentu kita dah sampai di pertengahan atau… Read More