Kehamilan adalah tanda diri kita dan pasangan subur untuk memperolehi zuriat selepas melepasi fasa awal berumahtangga. Bayi bakal membentuk di dalam ruang rahim ibu sebelum dilahirkan ke dunia.

Bagi anda yang baru sahaja mendapat berita tentang kejayaan kehamilan sendiri, ia mesti suatu keputusan yang sangat menggembirakan dan mengujakan buat diri, pasangan dan seluruh keluarga anda.

Ia juga membawa petanda hari-hari dalam dalam hidup anda juga bakal berubah tidak seperti hari-hari biasa. Ia akan membawa perubahan fisiologi secara ketara hari demi hari.

Melalui proses kehamilan bakal membuatkan anda perlu menghadapi fasa-fasa tertentu disepanjang tempoh kehamilan. Ia mengenai masalah-masalah biasa yang dihadapi oleh ibu hamil.

Ada banyak jenis masalah yang biasanya akan dihadapi oleh ibu mengandung disepanjang tempoh kehamilan. Ia bergantung kepada kondisi kesediaan dan kesihatan tubuh badan.

Ada ibu hamil terpaksa mengalami simptom yang teruk, ada yang biasa-biasa sahaja.

Ada yang mula mengalaminya pada fasa awal kehamilan lagi, ada pula yang mengalaminya bila hampir-hampir nak sampai kepada waktu kelahiran.

Pendek kata, ia adalah masalah normal yang dihadapi oleh ibu mengandung. Pemeriksaan secara berkala oleh badan kesihatan mungkin boleh membantu mengenalpasti atau menjangka kehadiran masalah ini.

Masalah Yang Biasa Dihadapi Oleh Ibu Hamil Di sepanjang Tempoh Kehamilan

Berikut adalah 7 masalah ibu hamil yang biasa terjadi dan juga punca mengapa ia boleh berlaku.

+1 – Perubahan Pada Payudara

Bagi ibu hamil, perubahan payudara semasa tempoh kehamilan adalah perkara biasa dan akan menjadi lebih ketara semasa menghampiri trimester 3 atau fasa kelahiran.

Saiz payudara akan semakin membesar atau membengkak disebabkan perkembangan kelenjar susu dan pembentukan tisu lemak disekitarnya.

Perubahan ini secara normal akan membuat ibu hamil rasa sedikit tidak selesa, ketegangan dan mungkin rasa sedikit sakit.

Juga kemunculan urat biru atau urat darah pada permukaan kulit payudara akibat peningkatan aliran darah ke payudara mungkin akan jelas kelihatan.

Puting payudara atau areola pula menjadi semakin berwarna gelap dan kadangkala keluar titisan cecair (yang disebut kolostrum) daripada payudara. Adakah semua ini normal?

Ya,  kesemua tanda ini adalah normal dan sekadar masalah biasa. Cuma perlu diambil perhatian jika berlaku sebarang ketidaknormalan contohnya susu tersumbat, bengkak susu atau mastitis selepas kelahiran.

+2 – Keletihan Semasa Hamil

Perubahan fisiologi tubuh dan perkembangan bayi yang sangat aktif sudah tentu membuat ibu mengandung selalu cepat penat atau cepat letih ketika hamil.

Baca Juga :  Bahaya Makan Mee Segera Kepada Wanita Hamil Dan Bayi Dalam Kandungan

Proses ini adalah normal kerana tubuh memerlukan lebih banyak tenaga untuk menyokong perkembangan tubuh ibu hamil dan tumbesaran janin.

Namun, keletihan semasa hamil juga boleh disebabkan oleh punca anemia atau hb rendah semasa mengandung.

Anemia merujuk kepada masalah jumlah sel darah merah atau hemoglobin (Hb) yang rendah berbanding normal bagi individu.

Bacaan Hb yang rendah ini berlaku kepada ibu hamil secara ketara biasanya akibat kekurangan nutrisi zat besi. Ia juga boleh disebabkan oleh kekurangan folate atau asid folik dan vitamin B-12.

Masalah ini mungkin membuatkan anda lebih stress jika dikesan oleh misi atau jururawat bertugas di jabatan kesihatan ibu hamil. Anda akan menerima banyak nasihat dan kaunseling tentang pemakanan serta perlu kerap  hadir membuat check-up bagi memantau perkembangan masalah ini.

Kena marah jika bacaan Hb tidak berubah? Itu pun perkara biasa. Ibu hamil juga biasanya akan dibekalkan pil zat besi untuk membantu memperbaiki masalah Hb rendah ini.

+3 – Loya dan Muntah Ketika Hamil

Mabuk hamil juga perkara yang biasa berlaku ketika berada di fasa awal kehamilan terutamanya apabila di waktu pagi. Lebih popular juga dikenali sebagai Morning Sickness.

Masalah perut penyebab rasa loya dan muntah-muntah ini terjadi akibat proses perubahan hormon dalam tubuh. Ditambah pula jika keadaan perut kosong atau jadual makan yang tidak tetap.

Pada tahap ini tubuh melakukan proses pelarasan dan cuba meningkatkan paras hormon secara perlahan-lahan terutamaya pada minggu-minggu awal kehamilan.

Bagi ibu mengandung yang normal, mabuk hamil kebiasannya akan mula hilang selepas usia kehamilan masuk bulan keempat dan ke atas. Namun, ada juga yang terpaksa membawa simptom ini sepanjang tempoh kehamilan.

Untuk mengelakkan atau mengurangkan kesannya, mulakan pagi anda dengan makanan kering seperti bijirin, kurma, roti dan biskut. Ia boleh memperbaiki masalah hilang selera makan terutamanya untuk ibu hamil yang tiba-tiba sensitif (alah) dengan bau makanan.

Atau boleh ambil makanan berprotein tinggi seperti susu soya sebelum tidur (protein mengambil masa yang lebih panjang untuk penghadaman) bagi mengelakkan perut kosong selepas bangun daripada tidur nanti pada awal pagi.

+4 – Kerap Buang Air Semasa Hamil

Masalah ini juga kerap muncul sebagai sebahagian daripada tanda-tanda awal kehamilan.

Baca Juga :  9 Cara Atasi Kaki Bengkak Semasa Hamil Tanpa Rasa Stress

Ia adalah normal dan jangan khuatir kerana ia bukan akibat masalah buah pinggang rosak, penyakit pundi kencing atau sebagainya.

Proses pembesaran rahim (uterus) dan pertumbuhan aktif janin akan menyebabkan tekanan kepada pundi kencing, menyebabkan ibu hamil rasa kerap ingin buang air kecil pada fasa awal kehamilan di trimester pertama.

Proses ini akan berlaku lagi apabila usia kandungan masuk ke trimester ketiga, apabila kepala bayi mula berpusing kebahagian bawah (pelvis) sebelum proses kelahiran berlaku.

Opps, jangan cuba untuk kurangkan jumlah kuantiti air yang ibu hamil perlu minum air setiap hari. Minum 6 hingga 8 gelas air sehari boleh mengelakkan masalah buruk dehidrasi dan lebih memudahkan proses penyaluran nutrien kepada bayi dalam kandungan.

Jika terganggu dengan masalah kerap kencing di waktu malam, boleh kurangkan sedikit kuantiti air yang ingin diminum sejam atau dua jam sebelum tidur. Banyakkan pula minum air diwaktu siang.

+5 – Sakit Kepala Ketika Hamil

Adakah sakit kepala semasa hamil itu normal? Anda rasa tiada masa untuk pening kepala?

Ya, ia adalah normal dan sukar untuk dielakkan bagi ibu yang mula hamil. Ia juga sering dikaitan dengan mabuk hamil. Rasa loya dan muntah-muntah akan membuat ibu hamil lemah badan dan mudah sakit kepala.

Ada 9 sebab lain lagi yang boleh menjadi punca mengapa ibu hamil mudah mengalami sakit kepala termasuk stress, pengambilan kafein, kurang tidur, terlalu penat, kurang minum air, alahan, mudah rasa lapar, masalah hidung/mata dan juga sembelit.

Jangan risau, petanda sakit kepala ini tidak berbahaya jika anda tidak mempunyai masalah kesihatan lain yang kronik seperti migrain dan darah tinggi atau diabetes. Jika ada, pemantauan doktor amatlah diperlukan.

Kebiasaannya, simptom kerap pening kepala ini akan hilang selepas masuk trimester kedua apabila tubuh sudah mula boleh menyesuaikan diri dengan perubahan hormon yang dialami oleh ibu hamil.

Ibu hamil juga boleh mengawalnya dengan 11 tips cara hilangkan sakit kepala ketika mengandung ini.

+6 – Masalah Sembelit Ketika Hamil

Selain masalah kerap kencing, ibu hamil juga perlu biasa dengan masalah sembelit semasa mengandung.

Terpaksa ambil masa yang lama ketika di tandas, ketidakselesaan atau indeks kepuasan hati yang rendah semasa membuang air juga antara risiko yang ibu hamil terpaksa alami ketika masalah sembelit muncul.

Baca Juga :  Demam Semasa Mengandung Berbahaya? Cara Atasi Tanpa Perlu Makan Ubat

Namun secara statistiknya, hampir 30 hingga 40 peratus ibu hamil akan mengalaminya. Jadi, ia petanda normal dan anda tidak keseorangan.

Secara perubahan fisiologinya, perkembangan rahim dan janin akan turut menyebabkan tekanan kepada rektum yang menjadi punca utama terjadinya masalah sembelit.

Selain itu, perubahan hormon, kekurangan mineral kalsium dan kesan pengambilan ubat/vitamin/suplemen tertentu juga antara punca mengapa ibu hamil mudah mengalami sembelit ketika hamil.

Ada beberapa tips untuk mengatasi masalah sembelit ketika hamil yang mudah diikuti termasuk banyakkan makan makanan berserat (fiber), banyak makan buah-buah & sayuran, banyak minum air, ambil suplemen kalsium, ambil minyak ikan dan aktif/bersenam.

+7 – Kejang Kaki Semasa Hamil

Semakin bertambah usia kehamilan bermakan banyak perubahan fisiologi telah berlaku kepada tubuh ibu hamil.

Pertambahan berat badan yang ketara memerlukan tubuh terutamanya kaki untuk memampung berat kandungan yang dibawa setiap hari. Jadi masalah bengkak kaki (edema) dan juga kejang kaki diwaktu malam adalah antara simptom biasa kehamilan.

Impak daripada itu, otot kaki terutamanya pada betis akan mudah mengalami keletihan dan berlalu kekejangan yang biasa mengejut dan mengganggu anda daripada tidur yang lena di waktu malam.

Masalah kejang kaki ketika hamil ini berlaku dalam masa beberapa minit sahaja kebiasannya dan tidak berkekalan kecuali atas sebab-sebab tertentu yang lain.

Ada beberapa punca mengapa kejang kaki boleh berlaku kepada ibu hamil seperti kesan akibat kekurangan nutrisi mineral kalsium-magnesium, perubahan hormon progesteron, tekanan aliran darah dalam salur darah di kaki dan aktiviti sangat aktif disiang hari boleh menyebabkan keletihan otot di waktu malam.

Ketika kejang kaki yang biasanya datang secara tiba-tiba berlaku, jangan terus bingkas bangun, ambil masa untuk ia reda dan kemudian urut secara perlahan-lahan untuk legakan otot dan gerakkan kaki secara perlahan-lahan.

Satu cara mudah untuk mengelakkan masalah kejang kaki ketika hamil ialah dengan memastikan bekalan kalsium ibu hamil sentiasa mencukupi.

Boleh ambil daripada sumber susu segar atau tenusu. Atau lebih mudah lagi, dapatkan suplemen kalsium yang dilengkapi magnesium untuk daya penyerapan yang lebih optimum kepada tubuh.

 

Facebook Comments:
Bagaimana Menghadapi 7 Masalah Ibu Hamil Yang Biasa Berlaku Ini Tanpa Rasa Stress

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.