Bengkak susu atau clogged duct biasa terjadi kepada ramai ibu menyusu termasuklah ibu baru lepas bersalin. Sakitnya bengkak susu ni, hanya tuhan sahaja yang tahu. Memang boleh sampai demam.

Untuk makluman, masalah bengkak susu atau saluran susu tersumbat ini terjadi biasanya disebabkan oleh beberapa faktor. Diantara faktor-faktor tersebut termasuklah:

  • Kegagalan untuk mengosongkan payudara selepas penyusuan
  • Bayi tidak melekap dengan baik pada payudara semasa penyusuan
  • Menangguhkan penyusuan untuk tempoh masa yang agak lama di antara sela masa penyusuan
  • Payudara menghasilkan terlalu banyak susu
  • Pam susu yang tidak efektif
  • Posisi tidur yang tidak betul
  • Memakai bra yang ketat
  • Memakai apa sahaja peralatan yang menyebabkan tekanan kepada payudara dalam tempoh masa yang lama seperti backpack, korset atau talipinggang keledar.

Kenalpasti Adakah Benar Saluran Susu Tersumbat

Saluran susu tersumbat boleh berlaku disebabkan oleh pembentukan ketulan lemak daripada susu badan di dalam payudara. Ia biasanya terjadi pada kawasan puting payudara dan boleh juga berlaku terasing di bahagian lain payudara.

Di antara tanda-tanda saluran susu tersumbat adalah :-

  • Berasa puting susu seperti melecet atau luka
  • Puting susu terasa sakit dan kemerah-merahan
  • Kelihatan cecair putih melekat pada puting susu yang mengeras
  • Puting susu masuk ke dalam (inverted nipple)
  • Terasa ketulan di payudara dan berasa sakit
  • Bayi kelihatan tidak puas menyusu walaupun diberi dengan kerap
saluran susu tersumbat clogged duct
Sumber Foto: Mayo Clinic

 

Cara Atasi Saluran Susu Tersumbat

#1 – Menyusu dengan kerap dan betul

Duktus tersumbat boleh di atasi dengan memastikan bayi anda menyusu dengan efektif. Jika tidak keberatan atau tidak terlalu sakit, boleh cuba beri bayi menyusu pada sebelah payudara yang tersumbat dahulu.

Pastikan cara pelekapan (latch) bayi adalah betul. Hisapan bayi yang gigih & kuat boleh menanggalkan bekuan susu yang menyebabkan payudara tersumbat. Jika bayi tidak mahu menyusu akibat mengalami kesukaran, boleh guna alternatif pam susu untuk kosongkan payudara anda.

#2 – Pam payudara anda

Kekerapan mengosongkan payudara dengan seberapa segera boleh mengurangkan risiko puting susu payudara tersumbat. Selain penyusuan bayi secara terus, teknik power pumping juga sangat berkesan untuk tujuan ini.

Atau sebaiknya, pam payudara anda setiap kali selepas bayi selesai menyusui bayi. Cara ini dapat membantu memastikan payudara anda dapat dikosongkan sepenuhnya.

#3 – Tuam dengan air panas (warm pressed) atau air sejuk (cold pressed)

Boleh gunakan pek air (suam atau sejuk), pad pemanas atau kain/tuala yang direndamkan air suam/sejuk. Pilih yang mana sesuai dan selesa bagi anda dan tuamkannya di sekeliling payudara yang terjejas.

Cara ini dapat membantu melegakan ketegangan dan melancarkan aliran susu yang tersekat atau tidak lancar.

#4 – Urutan payudara

Teknik urutan boleh melegakan masalah susu tersumbat. Gunakan dua jari telunjuk (dan tengah), mulakan urutan secara  bulatan pada bahagian atas payudara menuju ke puting.

Jika terasa ketulan atau benjolan, tumpukan urutan pada kawasan itu secara perlahan-lahan.

Juga ambil kira urutan pada pangkal payudara (kawasan kelenjar marmari) dan sekitar bawah ketiak. Urutan boleh juga dilakukan semasa menyusui bayi atau ketika pengepaman.

Urutan boleh dilakukan semasa mandi di bawah pancuran air hangat atau biasa.

Sesetengah orang beri tips urutan guna sikat bergigi kasar yang diletakkan sabun padanya. Teknik  urutan sikat dilakukan secara bulatan bermula dari pangkal payudara.

#5 – Ambil Lecithin

Sesetengah pakar penyusuan mencadangkan pengambilan suplemen soy lecithin bagi membantu mengatasi masalah susu tersumbat.

Cuma pastikan anda dapat khidmat nasihat daripada doktor atau pakar penyusuan anda terlebih dahulu sebelum penggunaa. Setengah produk soy lecithin mungkin memberi kesan sampingan tertentu.

Tips Elakkan Sakit Ketika Menyusu Badan

  1. Penting untuk terus menyusukan bayi anda walaupun ianya agak menyakitkan. teruskan penyusuan badan sekerap mungkin dan elakkan masa yang panjang di antara penyusuan.
  2. Mempelbagaikan posisi penyusuan boleh membantu bayi anda melekap dengan lebih baik.
  3. Menggunakan pam buah dada selepas setiap penyusuan boleh membantu mengeluarkan susu.
  4. Mengurut buah dada anda sebelum dan selepas penyusuan adalah sangat efektif.
  5. Meletakkan kain flanel yang hangat (atau sejuk) di buah dada, bermandikan air panas dan urutan lembut juga boleh membantu.
  6. Jika simptom anda tidak menyusut (selalunya selepas 24 jam) atau jika anda mula berasa sakit dan seakan-akan mendapat selesema, segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor. Komplikasi yang berlarutan tanpa tindakan boleh menyebabkan bahaya mastitis iaitu pembengkakan dan jangkitan bernanah pada payudara.

 

Facebook Comments:
Cara Atasi Saluran Susu Tersumbat Pada Payudara Ibu Menyusu Elak Bahaya Mastitis

Leave a Reply

Your email address will not be published.