Sejak Januari 2016, bumi Malaysia serta beberapa negara kejiranan sekitarnya mula mengalami musim cuaca panas kering luarbiasa yang disebut sebagai fenomena El Nino.

Kemuncak panas yang ketara mula dirasai pada bulan Mac dengan suhu yang meningkat sehingga mencecah 37 darjah Celcius di beberapa negeri. Selain El Nino, ia juga dikaitkan terjadi selepas berlakunya fenomena gerhana matahari yang berlaku pada 9 Mac 2016.

Tanda-tanda Awal Individu Mengalami Strok Haba

Terdengar banyak keluhan musim panas yang berlaku sekarang. Antara masalah yang paling dikhuatiri berlaku ialah berkaitan Strok Haba atau Kejutan Haba.

       Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi telah mengeluarkan Kenyataan Media pada 21 Mac 2016 memaklumkan sehingga jam 4 petang 21 Mac 2016 terdapat sembilan (9) lokasi di Malaysia mengalami suhu melebihi 36°C dan telah menjangka keadaan yang sama berlaku semula pada 22 Mac 2016.

Keadaan ini disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016.

Keadaan ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan dan kenaikan suhu berbanding biasa.

– Kementerian Kesihatan Malaysia, Mac 2016

Strok Haba didefinisikan sebagai apabila tubuh tidak mampu untuk melakukan mekanisma penyejukan ke paras normal dan suhu tubuh individu mulai meningkat secara mendadak ke tahap bahaya (melebihi 40 darjah Celcius) akibat pendedahan langsung terhadap kesan gelombang haba daripada sinaran terik matahari.

Bahaya kesan strok haba kepada individu boleh membawa pelbagai komplikasi tertentu. Ia bergantung kepada berapa lama individu terdedah secara langsung kepada persekitaran suhu tinggi dan keupayaan sistem tubuh untuk bertindakbalas memberi kerintangan kepada situasi ini.

Bagi individu yang tidak biasa terdedah kepada cuaca panas matahari, risiko untuk mengalami masalah strok haba adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang biasa berada (bekerja atau beraktiviti) di lapangan terbuka.

Kebiasaannya individu akan menunjukkan gejala permulaan tertentu sebelum berisiko mendapat komplikasi paling serius. Antara tanda-tanda awal individu yang terkena strok haba ialah:

  • Rasa pening atau sakit kepala dengan kerap.
  • Rasa loya, mual dan muntah
  • Rasa letih tubuh badan atau lemah tidak bermaya
  • Pitam atau pengsan
  • Berpeluh terlalu banyak atau mungkin juga tidak berpeluh dalam suhu panas
  • Rasa kering tekak dan sangat dahaga yang keterlaluan
  • Berlaku kekejangan otot
  • Denyut nadi menjadi laju
  • Mengalami hypotension atau lemah tekanan darah
  • Jarang membuang air kecil atau urin menjadi lebih gelap berbanding biasa.
  • Mengalami kerengsaan kulit, kulit menjadi kering atau kemerah-merahan.
Baca Juga :  Cara Berhenti Merokok Paling Berkesan Untuk Selama-lamanya

Komplikasi paling serius berkaitan strok haba adalah:

  • Kerosakan organ dalaman – Tanpa tindakbalas pantas untuk menurunkan suhu tubuh yang tinggi, strok haba boleh menyebabkan otak atau organ dalaman lain membengkak dan mengalami kerosakan kekal.
  • Kematian – Tanpa rawatan segera dan memadai, individu yang mengalami strok haba terpaksa berhadapan dengan risiko maut.

Mangsa Pertama Strok Haba di Kedah

Bagaimana Jika Ada Mangsa Terkena Strok Haba?

Apabila seseorang individu menunjukkan gejala terkena strok haba, apa yang kita boleh lakukan ialah:

  1. Baringkan mangsa di kawasan lebih sejuk – bawa ke tempat yang berangin, sejuk atau teduh dari sinar matahari
  2. Longgarkan pakaian atau buka pakaian tidak berkaitan – Beri ruang supaya kulit lebih terdedah untuk mengelak haba terperangkap dalam badan
  3. Sejukkan badan mangsa – lap muka, leher dan badan dengan tuala basah, renjiskan air dan sebagainya yang difikirkan bersesuaian.
  4. Kipaskan badan mangsa – Bantuan kipas manual atau kipas angin berupaya membantu untuk menurunkan suhu badan dengan lebih cepat
  5. Berikan air – Jika mangsa sedar, berikan air minuman, jus, minuman hidrasi atau minuman isotonik
  6. Tunggu sehingga mangsa sedar – Kebiasaannya mangsa akan pulih selepas 30 minit. Jika tidak, hubungi paramedik dengan segera dan tunggu sehingga ambulan sampai untuk membawa mangsa ke pusat kesihatan untuk rawatan lanjut.

Siapa yang Berpotensi Mengalami Strok Haba

Siapa sahaja boleh diserang strok haba ketika menghadapi gelombang haba atau cuasa panas melampau ketika ini. Bagaimanapun, golongan ini lebih berisiko tinggi untuk terkena bahaya strok haba, iaitu:

  • Warga tua
  • Kanak-kanak kecil dan bayi
  • Individu yang memiliki masalah kesihatan jangka-panjang atau kronik seperti diabetes, masalah jantung, masalah pernafasan dan sebagainya.
  • Individu yang sedang sakit atau mudah mengalami dehidrasi
  • Individu yang terdedah kepada persekitaran terbuka dengan jangka masa yang lama seperti pekerja binaan, tentera, atlet trek dan sebagainya.

Cara Mengatasi Bahaya Strok Haba

#1 – Hindari haba panas pada waktu puncak

  • Hindari sinar matahari panas antara pukul 11 pagi hingga 3 petang
  • Tangguhkan sementara aktiviti lasak seperti marathon, mendaki gunung, berkayak, memancing di laut pada waktu sebegini sehingga ia kembali reda.
  • Jika terpaksa keluar berjalan kaki, gunakan laluan yang mempunyai teduhan serta pakai topi atau payung.
  • Pakai pakaian dari kain kapas yang berwarna terang dan longgar
Baca Juga :  7 Tips Atasi Kulit Kering Dan Bersisik Di Kaki

#2 – Sejukkan diri

  • Kerap minum air kosong sejuk, kurangkan alkohol, kafein dan minuman panas
  • Banyak makan buah-buahan dan sayur salad yang memiliki banyak kandungan air
  • Kerap mandi jika terasa panas berpeluh
  • Sediakan tuala sejuk untuk lap muka dan leher jika perlu

#3 – Ciptakan persekitaran sejuk

  • Pastikan sistem pengudaraan yang baik di dalam rumah. Buka tingkap untuk memberi ruang angin sejuk masuk dan haba panas keluar jika perlu.
  • Hindari ruang bilik yang hangat atau terdedah kepada sinar matahari secara langsung. Pindah ke bilik yang lebih sejuk jika perlu.
  • Pasang kipas angin untuk lebih pengudaraan. Lebih selesa jika pasang penghawa dingin jika mampu.
  • Tutup lampu atau perkakasan elektrik yang menjana haba panas. Gunakan hanya bila perlu.
  • Letakkan sebekas air atau pokok yang sesuai dalam rumah untuk membantu penyejukkan.

#4 – Cari tempat sejuk

  • Berjalan-jalan di dalam bangunan yang mempunyai sistem penyejukan yang baik seperti dalam pasaraya atau kompleks membeli belah boleh membantu menghindarkan diri daripada cuaca panas dan berbahang.

#5 – Prihatin kepada orang lain

  • Bantu mereka yang terasing, orang tua, orang sakit atau kanak-kanak di sekeliling kita supaya mereka juga selesa dalam menghadapi situasi gelombang haba.
  • Prihatin juga tentang kesihatan mereka terutamanya warga tua dan orang sakit. Minta bantuan badan kesihatan jika ada sebarang kesulitan tentang masalah kesihatan mereka.
  • Pastikan tidak meninggalkan bayi, kanak-kanak atau orang tua di dalam kenderaan dengan tingkap tertutup di bawah sinar terik matahari pada kadar waktu yang lama.

 

Cara Atasi Strok Haba

Facebook Comments:
Cara Mengatasi Bahaya Strok Haba Kepada Ketika Cuaca Panas Kering

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.