Kolostrum adalah susu pertama yang keluar dari payudara ibu sejurus selepas kelahiran bayi. Namun, ada juga ibu yang menghasilkan kolostrum di akhir kehamilan. Ia berwarna kekuningan dan lebih kental.

Kolostrum sangat baik untuk kesihatan bayi. Mengapa? Teruskan bacaan anda. Namun, apa yang anda perlu tahu, kolostrum sepatutnya menjadi makanan pertama bayi sejurus selepas dilahirkan.

Kepentingan Kolostrum Susu Ibu Kepada Bayi Baru Lahir

Kajian yang dilakukan ke atas kolostrum susu ibu mendapati bahawa ia mampu memberikan perlindungan yang maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Antara kepentingan kolostrum kepada bayi yang baru dilahirkan adalah

  • Ia bersifat laksatif. la dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium. mekonium adalah salah satu faktor berlakunya jaundis atau demam kuning.
  • Mengandungi banyak “Faktor Pertumbuhan”maka ia mampu mematangkan usus dan mengurangkan risiko bayi terkena alergi. Ia juga membantu mengurangkan kesan penyakit.
  • Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi.
  • Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi. Ini amat bersesuaian sekali dengan firman Allah yang bermaksud:

Pada kejadian kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang melata yang bertebaran, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), bagi kaum yang meyakininya.

(Al-Jathiyah: 4)

Begitu juga dengan firman Allah swt dalam surah az-Zariyat ayat 20 dan 21 yang bermaksud,

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Kandungan Terpenting Kolostrum

Di antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA).

Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi di dalam badan manusia. Ia digunakan di dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imuniti) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus.

(1) Bayi Matang

SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira-kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA.

Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Sebaliknya, disebabkan proses-proses yang perlu dilakukan ke atas, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA. 

Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mendapat kira-kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan.

Walaupun kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran, tetapi dalam pada masa yang sama jumlah susu ibu turut meningkat dengan tingginya.

Oleh itu jumlah total SIgA adalah hampir kekal sepertimana di awal kelahiran. 

(2) Bayi PraMatang

Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan bayi pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan bayi matang.

Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit-penyakit yang berbahaya seperti Necrotizing Enterocolitis (NEC), sepsis, meningitis dan jangkitan virus.

Kandungan antimikrob seperti immunoglobulin yang tinggi di dalam susu pramatang akan membantu untuk melindungi bayi pramatang daripada penyakit-penyakit tersebut.

Antibodi Jenis SIgA Dalam Susu Ibu Mampu Melawan Pelbagai Jenis Bakteria

Para saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi.

SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain.

Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob-mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus).

Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel-sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi.

Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus.

Maha Suci Allah, ciptaan-Nya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana-mana ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud:

“Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya.” (Al-A’la : 2) 

Kajian-kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia.

Kuman-kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit-birit yang disebabkan oleh kuman-kuman tersebut.

Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu. 

Facebook Comments:
Kepentingan Kolostrum Susu Ibu Kepada Bayi Baru Lahir
Baca Juga :  Faktor Susu Badan Kurang Sehingga Perlu Sulam Dengan Susu Formula

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.