Sesetengah wanita dikesan mengalami anemia ketika mengandung seawal trimester pertama lagi.

Anemia merujuk kepada masalah kekurangan sel darah merah yang sihat dalam darah.

Antara fungsi utama sel darah merah ialah mengangkut oksigen ke seluruh sistem tubuh melalui aliran darah.

Sumber oksigen ini akan digunakan oleh sel tisu dalam organ tubuh untuk menjalankan fungsinya yang tertentu bagi kelangsungan sistem operasi tubuh.

Apabila sel tisu tidak menerima sumber oksigen yang mencukupi, organ tubuh tidak dapat melakukan fungsinya dengan baik.

Kesan anemia semasa mengandung juga boleh mendatangkan bahaya kepada ibu hamil dan bayi dalam kandungan jika tidak diambil langkah kawalan dengan segera.

Sel Darah Merah Anemia

Baca Juga :  Cara Mengatasi Hb Rendah Semasa Mengandung Untuk Kesihatan Ibu dan Bayi

Kenapa Anemia Boleh Berlaku?

Bermulanya fasa kehamilan, tubuh akan mula berubah secara dalaman dan luaran seiringan dengan perkembangan pertumbuhan bayi.

Di saat ini, tubuh ibu hamil juga perlu menghasilkan lebih darah merah.

Namun begitu, ibu hamil sentiasa terdedah kepada risiko memiliki anemia. Ia disebabkan oleh kuantiti darah yang berlebihan untuk fungsi membekalkan nutrien kepada bayi.

Bagi wanita biasa yang tidak hamil, secara puratanya mereka memiliki 5 liter darah dalam tubuh. Manakala bagi wanita hamil, tubuh memerlukan sehingga 7 ~ 8 liter darah semasa mengandung.

Bagi menghasilkan lebih darah, tubuh memerlukan lebih sumber zat besi, vitamin B12 dan folate.

Ini bertujuan supaya darah juga dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi sebagaimana yang diperlukan untuk fungsi mengangkut oksigen selain nutrien.

Ibu hamil dikatakan mempunyai masalah anemia apabila kandungan hemoglobin dalam darah kurang daripada 11g/dl.

Kekurangan zat besi adalah antara punca utama anemia mudah berlaku.

Ibu hamil memerlukan lebih 3 kali ganda sumber zat besi berbanding ketika kedatangan haid. Dan keperluan ini semakin bertambah apabila usia kehamilan meningkat.

Faktor zat besi sukar untuk diserap ke dalam tubuh juga antara penyebab mengapa hemoglobin sukar untuk dihasilkan – punca lain penyebab anemia.

Jadi, kebanyakkan wanita hamil biasanya akan dibekalkan suplemen zat besi atau iron untuk membantu mengatasi masalah ini.

Kesan Anemia Biasa Kepada Ibu Hamil

Ibu hamil yang normal dikatakan bebas anemia apabila bacaan Hemoglobin (Hb) lebih daripada 11g/dl.

Anemia boleh dikelaskan kepada 3 kategori mengikut bacaan kepekatan hemoglobin dalam darah iaitu:

  1. Anemia Ringan : Bacaan Hb 10g/dl ~ 10.9g/dl
  2. Anemia Sederhana : Bacaan Hb 7g/dl ~ 9.9 g/dl
  3. Anemia Berat : Bacaan Hb < 7 g/dl

Anemia ringan (mild anemia) masih boleh dikawal. Anemia berat (severe anemia) pula memerlukan pemantauan dan pemerhatian khusus daripada doktor kesihatan.

Namun, cara terbaik untuk mengelakkan anemia menjadi semakin buruk adalah dengan mengambil tindakan segera sebelum atau semasa tanda-tanda anemia ringan sedang berlaku.

Pemeriksaan awal darah mengikut saranan pegawai kesihatan biasanya sangat membantu mengesan kehadiran anemia dalam kalangan ibu hamil.

Pemerhatian awal terhadap tanda-tanda anemia mula hadir juga sangat membantu ibu hamil lebih prihatin terhadap kesihatan tubuh sendiri.

Tanda-tanda anemia ringan antaranya ialah:

  • Badan menjadi lemah atau mudah letih
  • Kerap sakit kepala atau pening
  • Jantung kerap berdegup kencang secara tiba-tiba
  • Kerap sesak nafas
  • Sakit dada
  • Kulit, bibir atau tangan menjadi pucat
  • Mudah rasa sejuk pada tangan dan kaki
  • Mudah stress atau emosi mudah terganggu
Baca Juga :  Hb Rendah Semasa Mengandung Kini Kembali Normal

Bahaya Anemia Jika Tidak Dikawal

Anemia yang tidak diberi perhatian dan dirawat segera bakal menyebabkan komplikasi buruk kepada ibu hamil dan bayi dalam kandungan.

#1 – Bahaya anemia kepada ibu mengandung

  • Pendarahan antrepartum: Pendarahan yang terjadi setelah kehamilan 28 minggu atau pendarahan trimester ketiga.
  • Jangkitan bakteria dalam darah seperti Septicemia (sepsis) atau Septic Shock (kegagalan organ)
  • Kegagalan jantung
  • pendarahan pospartum: Pendarahan selepas bersalin
  • Acute Pulmonary Edema: Pengumpulan cecair dalam paru-paru
  • Pulmonary Embolism: Salur darah paru-paru tersumbat
  • Kematian

#2 – Bahaya anemia kepada bayi

  • Mengalami keguguran
  • Kelahiran pra matang
  • Intra uretine Growth – Pertumbuhan Janin terhambat (terbantut atau saiz tidak normal mengikut trend kehamilan biasa)
  • Kelahiran bayi kurang berat badan
  • Kematian bayi dalam kandungan

Memahami Punca Anemia dan Penyebabnya

Golongan ibu hamil yang berisiko menghidap anemia adalah disebabkan oleh faktor berikut:

  1. Perubahan fisiologi tubuh semasa hamil – Peningkatan isipadu darah berpunca dari pertambahan isipadu plasma yang lebih tinggi berbanding sel darah merah menyebabkan berlakunya kecairan darah (hemodilution).
  2. Kekurangan zat besi
  3. Kekurangan nutrisi vitamin B12 atau asid folik
  4. Pernah mengalami anemia pada kehamilan yang terdahulu
  5. Pernah mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak
  6. Pernah melahirkan anak beberapa kali sebelumnya atau jarak kehamilan yang rapat
  7. Pernah mengalami masalah keguguran
  8. Mengalami masalah buasir
  9. Mengalami asalah penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang, talasemia, malaria dan sebagainya

Cara Mengatasi Anemia Semasa Hamil

Kesedaran dan langkah pencegahan terhadap bahaya anemia boleh dilakukan sebelum atau di fasa awal kehamilan lagi.

Banyakkan pembacaan sumber kesihatan dan merujuk kepada pakar kesihatan dapat membantu bakal ibu untuk mengenali dan mengesan masalah anemia lebih awal.

Langkah paling efektif mencegah anemia adalah melalui pengambilan diet seimbang dalam pemakanan harian.

Berikut adalah cara mengatasi anemia ketika mengandung dalam bentuk diet:

#1 – Ambil makanan sumber sumber zat besi

Amalkan pemakanan seimbang dan tambahkan senarai makanan tinggi kandungan zat besi dalam diet. Sumber makanan kaya zat besi boleh diperolehi daripada:

  • Daging merah, daging putih (ayam) dan ikan
  • Sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli, pak choy dan sebagainya
  • Bijirin dan serat gandum yang diperkaya dengan zat besi (biasa tertera pada label)
  • Kekacang dan biji-bijian
  • telur ayam

#2 –  Ambil makanan kaya sumber vitamin C

Vitamin C sangat penting untuk membantu penyerapan zat besike dalam tubuh. Pengambilan sumber besi  seiring dengan sumber vitamin C adalah kunci terbaik bagi mencegah anemia.

Sumber vitamin C terbaik boleh diambil daripada:

  • Buah-buahan sitrus seperti limau, oren dan sebagainya
  • Jus buah-buahan
  • Strawberi
  • Kiwi
  • Tomato
  • dan sebagainya

#3 – Ambil makanan tinggi sumber folat (asid folik)

Asid folik sangat baik untuk membantu perkembangan pertumbuhan bayi dalam kandungan. Ia juga sangat membantu bagi mengatasi masalah kurang asid folik ketika hamil.

Sumber makanan kaya sumber asid folik diantaranya ialah:

  • Sayuran berdaun hijau
  • buah-buahan sitrus dan jus buah original
  • kacang kering
  • Roti dan bijiran yang diperkaya dengan asid folik

#4 – Ambil suplemen zat besi, vitamin c dan asid folik

Selain sumber semulajadi makanan; zat besi, vitamin c dan juga asid folik boleh diambil dalam bentuk suplemen.

Kesukaran mendapatkan kualiti pemakanan terbaik dalam diet adalah antara punca utama masalah anemia sering berlaku.

Pengambilan melalui bentuk suplemen sebagai gantian sedikit sebanyak dapat membantu ibu hamil mendapatkan 3 nutrisi penting ini dengan mencukupi untuk mengelakkan masalah anemia.

Namun, rujukan pakar kesihatan dan pemilihan suplemen terbaik hasil cadangan pakar nutrisi amat diperlukan. Ibu hamil juga perlu berhati-hati memilih suplemen yang bebas bahan berbahaya atau yang mempunyai kesan buruk jangka panjang.

Baca Juga :  Atasi Hb Rendah Semasa Mengandung Elak Anemia
Facebook Comments:
Bahaya dan Kesan Buruk Anemia Semasa Mengandung

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.