Sekarang kita masih lagi muda remaja dan sihat cergas. Kita masih belum tua lagi. Apa nak ditakutkan.

Tetapi, adakah kita faham tentang masalah kesihatan orang tua yang bakal kita hadapi nanti? Bersediakah kita untuk menghadapinya?

Sudah tentu keadaan kita semasa muda telah banyak berubah apabila kita menuju usia warga emas.

Pergerakan, keupayaan, penglihatan, kekuatan memori dan segala yang melibatkan kesihatan kita menjadi semakin lemah.

Proses penuaan berlaku secara perlahan-lahan tanpa kita sedari. Sama ada kita mahu atau tidak, ia adalah perkara normal dan cabaran yang perlu kita hadapi.

Persoalannya, bolehkah kita menghalang proses penuaan? Bidang sains perubatan dan bidang nutrisi kesihatan sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan hal ini.

Lihat sahaja Perdana Menteri baru kita yang ke-7, umurnya telah menjangkau 93 tahun!

Tetapi beliau masih berdaya saing dan mampu menerajui pentadbiran negara. Luarbiasa dan jarang-jarang berlaku bagi orang lain yang seusia dengannya.

Bagaimana pula kita bila mencecah umur 90-an nanti? Normal dan kebanyakkannya mungkin sudah menyerah kalah sebaik memasuki umur 60-an.

Bersedia Dengan 9 Masalah Penyakit Orang Tua Ini 

Apakah cabaran kesihatan yang bakal kita hadapi bila menjelang usia tua? Sudah tentu kita perlu sedar dan sedia untuk melaluinya.

Menariknya, berikut adalah 9 cabaran kesihatan warga emas yang biasa dan perlu dihadapi oleh kita bila menjelang hari tua nanti:

#1 – Demam Selesema atau Flu

Kebiasannya, apabila umur kita melepasi 65 tahun, sistem pertahanan kita atau lebih dikenali sebagai sistem imun akan menjadi semakin lemah.

Kita mudah dijangkiti virus yang menyebabkan kita mudah diserang demam selesema serta batuk. Contohnya, virus seperti Influenza A yang sangat mudah berjangkit daripada satu individu kepada individu yang lain.

Di Amerika, ramai diantara golongan yang melepasi umur 65 tahun telah meninggal dunia disebabkan oleh penyakit berjangkit yang berkaitan simptom demam selesema.

Jika tidak ditangani dengan baik, masalah demam selesema atau flu ini akan membawa komplikasi lebih buruk seperti:

  • Pneumonia (Radang paru-paru)
  • Sepsis (jangkitan bakteria dalam darah)
  • Penyakit jantung

Jika kita dikategorikan berisiko tinggi mudah mendapat flu serta berumur 65 tahun ke atas, dapatkan suntikan vaksin flu secara tahunan dengan merujuk pakar kesihatan atau doktor.

WHO mencadangkan agar pemberian vaksin tahunan dibuat bagi Individu berisiko tinggi ini juga termasuk ibu hamil, kanak-kanak berusia antar 6 bulan hingga 5 tahun dan individu berumur melebihi 65 tahun, selain individu penghidap penyakit kronik dan pekerja penjagaan kesihatan”.

Dr. Yasmin Abdul Malek – Sinar Harian 18 Oktober 2017

Baca Juga :  11 Makanan Terbaik Untuk Cuci Paru-paru Bebas Dari Toksin Dan Penyakit

#2 – Berat Badan Naik

Gemuk atau berat badan berlebihan bukanlah penyakit. Tetapi lebih kepada petanda atau pintu utama kepada pelbagai penyakit.

Kebiasaannya yang kita dengar, orang tua mengalami berat badan menyusut. Tapi ini melibatkan berat badan naik. Mengapa?

Tiga masalah utama yang boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan ketika tua ialah

  • Otot semakin berkurangan dan lemah menyebabkan lebih banyak lemak tersimpan dalam badan.
  • Aktiviti harian yang kurang atau semakin tidak aktif.
  • Tubuh membakar kurang kalori apabila melakukan aktiviti, tidak seperti waktu muda.

Berlebihan berat badan boleh mendatangkan pelbagai risiko penyakit yang serius bagi orang tua. Tekanan darah tinggi, masalah jantung, kencing manis dan strok adalah antara komplikasinya yang utama.

Berat badan naik semasa tua akan menyebabkan kesukaran dalam pergerakan ketika berjalan atau ketika hendak bangun daripada duduk.Kebiasaanya masalah arthritis dan gout menyokong keterbatasan ini.

Dengan itu, penjagaan diet pemakanan dan aktiviti aktif yang bersesuaian dengan umur sangat mambantu mengatasi permasalahan ini.

Selain itu, nasihat pakar perubatan dan nutrisi juga sama penting bagi menjayakan misi mengurangkan berat badan ini.

#3 – Masalah Tulang Rapuh

Tulang rapuh sering dikaitkan dengan masalah osteoporosis yang biasa melanda orang-orang tua. Namun hari ini, orang muda juga tidak ketinggalan untuk memiliki masalah osteoporosis di awal usia.

Masalah penuaan menyebabkan tubuh mudah kehilangan keseimbangan dalam kestabilan badan dan pergerakan anggota tubuh. Oleh itu, orang tua mudah jatuh. Biasa dengar orang-orag tua yang terjatuh di bilik air atau dapur kan?

Lebih bahaya jika orang tua mempunyai masalah osteoporosis. Mendapat risiko patah tulang akibat jatuh adalan risiko utama yang perlu dihadapi sama ada minor atau major.

Selain itu, orang tua juga mudah untuk mengalami masalah tulang belakang bengkok dan slip disc jika kekal mengalami masalah kekurangan kalsium dalam tulang.

Baca Juga :  Rawatan Alternatif Untuk Slip Disc Tanpa Pembedahan

Bagi mengelakkan masalah ini, kita perlu bersedia dengan pemilihan diet yang betul dan gaya hidup sihat seperti:

  • Lebihkan makan buah-buahan dan sayuran serta makanan yang tinggi kandungan kalsium
  • Dapatkan juga bntuan suplemen vitamin D bagi meningkatkan kecekapan tubuh untuk menyerap kalsium.
  • Sentiasa aktif melakukan senaman ringan yang menggunakan berat tubuh seperti berjalan kaki, push up atau senaman squat.
  • Tinggalkan ketagihan merokok atau minum alkohol sekarang.

#4 – Penyakit Sendi Tulang (Arthritis)

Masalah ini juga berkaitrapat dengan osteoporosis. Penyakit yang biasa berlaku berkaitan keradangan sendi tulang bagi orang tua ialah Arthritis.

Lebih kurang 100 jenis arthritis dapat diklasifisikan sebagai penyakit sendi tulang. Paling banyak menyerang warga tua ialah Osteoarthritis dan Gout.

Osteoarthritis ialah masalah berkaitan haus dan susut (wear and tear) yang berlaku pada lapisan pelindung antara sendi akibat penuaan atau kecederaan. Ia menyebabkan rasa sakit pada sendi tangan, lutut dan tulang punggung.

Gout pula adalah sejenis arthritis yang paling popular berlaku akibat pengumpulan asid urik berbentuk kristal tajam dalam ruang antara sendi atau pada tisu penghubung sendi.

Gout biasa menyerang sendi jari ibu kaki yang menyebabkan kesakitan dan bengkak sendi. Namun, gout boleh juga menyerang sendi lain seperti lutut, pergelangan tangan & kaki, tangan serta siku.

Setiap 3 lelaki dan seorang wanita akan mengalami penyakit gout. Lelaki berumur 40 tahun dan keatas lebih berisiko tinggi dan bagi wanita pula apabila menjelang fasa menopouse.

#5 – Risiko Kanser

Ini yang paling ditakuti ramai orang. Oleh kerana ia datang secara senyap dan kita tidak tahu bila ia mula terjadi, ramai dalam kalangan kita terutamanya golongan tua disahkan menghidapi kanser.

Tahukah anda? Umur adalah faktor terbesar bagi kita untuk mendapat risiko kanser. Ia bermula dalam lingkungan umur 50-an dan setengah daripada kes kanser direkodkan telah berlaku kepada mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Kanser bukan hanya satu penyakit. Ia pelbagai jenis. Kanser boleh bermula dari paru-paru, payudara, kolon atau dalam darah sekalipun. Ia seolah-olah sama, tetapi berbeza dari segi cara pertumbuhan dan merebak.

Para saintis sendiri tidak dapat mengenalpasti punca mengapa orang-orang tua lebih mudah menjadi suspek kepada masalah kanser.

Adakah mungkin mereka (orang tua) lebih mudah terdedah kepada agen penyebab kanser lebih lama atau tubuh mereka sendiri sudah tidak mampu atau lambat untuk melakukan pembaikpulihan sel tubuh yang mengalami pertumbuhan abnormal.

Walaupun begitu, menempuhi usia tua bukanlah takdirnya kita untuk mendapat kanser. Ia boleh dielakkan melalui amalan kesihatan yang baik seperti:

  • Kawal berat badan : Obesiti atau berlebihan berat badan sering dikaitkan dengan 13 jenis kanser seperti kanser kolon, kanser payudara dan kanser pankreas.
  • Kurangkan sumber makanan daging merah atau daging terproses.
  • Berhenti merokok
  • Bersenam selalu untuk gaya hidup sihat

#6 – Penyakit Depresi atau Kemurungan

Orang-orang tua dikatakan mudah menjadi sensitif, cepat merajuk atau kemurungan. Antara faktor yang menyebabkan risiko kemurungan dalam kalangan warga tua ialah:

  • Wanita
  • Hidup bersendirian, tidak berkahwin atau mengalami penceraian
  • Kurang sokongan sosial atau sering disisihkan
  • Kehidupan yang stress

National Institute of Mental Health menyatakan bahawa masalah depresi dalam kalangan warga tua berumur 65 tahun dan ke atas adalah masalah kesihatan umum yang utama di Amerika. Dikatakan 1 daripada 20 orang berumur 60 tahun dan ke atas mengalami masalah depresi.

Di Malaysia, 4 daripada 10 orang dianggarkan mengalami masalah kesihatan mental. Ia merujuk kepada semua kategori termasuk  warga tua.

Antara punca yang menyebabkan warga tua mudah mengalami masalah kemurungan adalah akibat mengalami masalah kesihatan jangka panjang seperti masalah penyakit tiga serangkai (darah tinggi – kencing manis – jantung) atau masalah arthritis (gout).

Ia menyebabkan keterbatasan aktiviti yang biasa dilakukan dan mengganggu perjalanan hidup normal. Sudah tentu ia menyebabkan rasa stress serta kemurungan.

Nasihat perubatan dan psikoterapi dapat membantu mengatasi masalah depresi dalam kalangan orang tua. Namun, ubat yang terbaik adalah mendapat sokongan daripada ahli keluarga sendiri.

Baca Juga :  Cara Mengatasi Anxiety Disorder (Gangguan Kebimbangan)

#7 – Masalah Bengkak Prostat

Bengkak prostat atau dikenali sebagai Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) merujuk kepada pembengkakan luarbiasa pada kelenjar prostat lelaki.

Prostat adalah sejenis kelenjar sebesar kacang walnut yang terletak dibawah pundi kencing. Ia berfungsi untuk mengeluarkan cecair pelindung dan membantu pembentukan sperma bagi orang lelaki.

Secara normal, kelenjar prostat akan membesar apabila usia lelaki semakin meningkat dan hanya boleh mengganggu saluran kencing jika saiznya terlalu besar.

Apabila prostat membesar secara luarbiasa, ia akan menghimpit urethra (saluran air kencing) dan menekan dinding pundi kencing sehingga menjadi nipis.

Seterusnya masalah pembuangan air kecil menjadi terganggu seperti rasa nyeri pada saluran kencing, kencing terlalu kerap, air kencing keluar sedikit dan perlahan.

Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah jangkitan saluran kencing, kerosakan pundi kencing, kerosakan buah pinggang, masalah mengawal air kencing dan kencing tidak lawas (susah nak kencing).

Prostat Normal vs Bengkak Prostat

#8 – Penyakit Kardiovaskular

Semakin kita hidup lebih lama, melepasi usia 65 tahun khususnya, kita semakin perlukan lebih perhatian terhadap penyakit kardiovaskular.

Penyakit kardiovaskular merujuk kepada penyakit yang melibatkan struktur dan fungsi jantung antaranya seperti:

  1. Penyakit arteri koronariMasalah dinding arteri semakin mengeras dan menyempitkan saluran arteri. Juga disebut atherosclerosis.
  2. Degupan jantung tidak normal: Jantung normal berdegup sebanyak 60 hingga 100 kali seminit, lebih kurang 100, 000 kali sehari. Degupan jantung yang tidak terkawal sama ada terlalu cepat atau terlalu perlahan juga disebut arrhythmia.
  3. Kegagalan Jantung : Gagal bukan bermaksud jantung terus berhenti bendegup serta merta, tetapi bermaksud jantung tidak dapat mengepam darah seperti yang sepatutnya.

Baca lagi tentang “Jantung”:

#9 – Alzheimer’s dan Dementia

Risiko paling ditakuti ketika kita tua nanti ialah penyakit “nyanyuk” atau dikenali sebagai demensia (dementia) dalam bidang berubatan. Satu lagi ialah penyakit Alzheimer. Dan kedua-duanya adalah berbeza.

Dementia merujuk kepada sindrom (bukan penyakit) kemerosotan fungsi otak yang progresif. Ia bermaksud fungsi kognitif otak seseorang itu menjadi lemah secara perlahan-lahan dan kurang bekerja dari semasa ke semasa, dan tanda ini kelihatan akan menjadi semakin rosak atau teruk.

Nyanyuk atau demensia adalah istilah umum bagi menggmbarkan gejala yang mempengaruhi daya ingatan (memori), prestasi aktiviti harian dan kebolehan berkomunikasi.

Sementara Alzheimer’s pula adalah sejenis penyakit fungsi otak yang menjadi antara penyebab nyanyuk demensia. Ia bukan sebahagian daripada proses penuaan normal, tetapi penyakit yang menyebabkan kehilangan progresif (beransur-ansur) sel-sel saraf otak.

Lebih separuh daripada mereka yang mengalami dementia menghidap penyakit Alzheimer’s atau mudah dikatakan sebagai Alzheimer penyebab nyanyuk.

Alzheimer merupakan penyakit nyanyuk yang biasa menyerang warga emas. Mengikut statistik Asia Pasifik, penghidap penyakit ini telah mencecah 18 juta orang.

Lebih kurang 60,000 orang di Malaysia merupakan penghidap Alzheimer. Dijangka pada tahun 2020, angka ini akan berganda kepada 120,000 orang.

Prof. Dr. Philip Poi Jun Hua, Pakar Runding Geriatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya – Utusan Online 21 September 2008

Hadapi Hari Tua Secara Tenang & Normal

Hari tua memang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa selagi kita diizinkan untuk mempunyai hayat umur yang panjang.

9 masalah kesihatan orang tua di atas adalah sekadar sebahagian masalah kesihatan yang biasa dihadapi dan disenaraikan oleh banyak halaman-halaman artikel kesihatan. Dan ada lebih banyak lagi senarainya.

Sekali lagi tanyakan, bersediakah kita untuk menghadapinya? Apa yang kita amalkan hari ini, diet pemakanan dan gaya hidup yang kita amalkan hari ini sedikit sebanyak adalah penentu keadaan kesihatan kita di hari tua esok.

 

Facebook Comments:
9 Masalah Penyakit Orang Tua Yang Mungkin Kita Akan Hadapi Bila Lanjut Usia

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.