Anda pernah rasa sakit belakang yang amat sangat tapi tidak mengetahui apa punca penyebabnya?

Sakit belakang bukan perkara main-main, bahkan bukan kepalang rasa sakitnya bila ia datang dengan tiba-tiba.

Segala kerja menjadi terhenti sebentar, badan rasa kejang dan seluruh tenaga diperlukan untuk mengawal sakitnya sementara sakitnya hendak hilang.

Ia mungkin sakit belakang yang biasa jika hadir sekejap sahaja. Sedikit regangan atau urutan pada belakang badan boleh meredakannya.

Atau ia sakit belakang yang serius jika berlaku dalam tempoh yang lama dan berpanjangan sakitnya. Ubat painkiller atau berkejar ke hospital tentu sahaja antara penyelesaiannya.

JIka hal ini tidak diambil tindakan dan ditangani dengan segera, ia boleh membawa kepada kesan kronik kerosakan tulang belakang.

 

Apakah Punca Sakit Belakang Boleh Berlaku?

Sakit belakang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa. Tidak kira waktu dan ketika, bahkan ia biasa dikaitkan sebagai penyakit orang tua.

Punca sakit belakang seringkali dikaitkan dengan faktor gaya hidup dan kelakuan atau tabiat yang salah semasa melakukan aktiviti harian.

Berikut adalah kajian yang telah dibuat oleh saintis kesihatan berhubung tabiat yang boleh menyebabkan masalah sakit belakang yang kronik.

#1 – Suka Tabiat Merokok

Merokok adalah antara salah satu tabiat buruk yang membawa banyak kesan negatif bukan sahaja kepada perokok, bahkan orang disekelilingnya juga.

Sejumlah 20,000 rakyat negara ini, meninggal dunia setiap tahun akibat tabiat merokok.

Dr. S. Subramaniam – Mstar, 23 April 2015

Namun, fokusnya di sini adalah lebih kepada kesanya terhadap kesihatan tulang belakang.

Terdapat 4 kesan merokok boleh merosakkan tulang belakang:

  1. Tulang semakin rapuh – Kesan nikotin dan bahan kimia dalam rokok menghalang penyerapan kalsium ke dalam tulang untuk mengekalkan ketumpatannya.
  2. Aliran darah menjadi lemah -Bekalan oksigen dan nutrien penting tidak sampai ke sel tisu tulang untuk pertumbuhan sihat.
  3. Aktiviti fizikal semakin menurun – Masalah paru-paru dan masalah jantung menyebabkan tubuh menjadi cepat penat dan melemahkan aktiviti fizikal harian.
  4. Luka lambat sembuh – Pembedahan tulang belakang menjadi lambat atau sukar untuk sembuh akibat kesan bahan kimia dalam rokok.

#2 – Cara Kerja Yang Salah

Ia bukan bermaksud kerja yang anda buat itu salah, tapi tentang POSTUR.

Berapa ramai orang yang mengambil berat tentang postur? Postur merujuk kepada kedudukan bentuk badan.

Ini termasuklah postur ketika berdiri, duduk, bekerja mengangkat barang, berlatih sukan dan sebagainya.

Mengamalkan postur tubuh yang salah secara berpanjangan boleh menyebabkan kesan sakit belakang leher dan belakang badan.

#3 – Berdiri Terlalu Lama 

Cara berdiri atau berdiri terlalu lama banyak memberikan kesan buruk kepada leher, bahu dan juga tulang belakang.

Sendi dan otot kita perlu mengekalkan fleksibiliti untuk memastikan sistem sokongan badan kekal sihat.

Posisi dan struktur tulang pula perlu mengekalkan posisi neutral untuk mengekalkan penjajarannya (alignment) yang betul.

Posisis Neutral tulang belakang merujuk kepada koordinasi lengkung semulajadi tulang belakang apabila 3 lengkuk tulang belakang berada dalam jajaran yang betul – lengkuk leher (cervical – atas), belakang dada (thorax – tengah) dan pinggang (lumbar – bawah)

Tabiat postur yang salah ketika bekerja, bergerak dan berdiri akan menyebabkan tulang belakang mengalami tekanan berlebihan.

Tekanan berlebih kepada tulang belakang dalam jangkamasa panjang akan melibatkan sakit saraf tunjang, sakit belakang kronik, slip disc dan bongkok / skoliosis.

Postur Berdiri Yang Betul

#4 – Duduk Terlalu Lama

Pada tahun 2015, satu laporan kajian daripada Annals of Internal Medicine menyatakan bahawa duduk terlalu lama (prolonged sitting) mempunyai risiko tinggi dengan kematian pelbagai punca – termasuk bagi mereka yang aktif bersenam.

Disamping itu, gaya hidup banyak duduk (malas atau tidak aktif) juga boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, pelbagai jenis kanser dan kencing manis.

Namun duduk terlalu lama boleh juga merosakkan tulang belakang kita. Bagaimana?

Gaya hidup manusia hari ini banyak terleka kepada gajet elektronik. Bermedia sosial, menonton tv, bermain game, melayari internet dihadapan komputer dan sebagainya, kita biasa lakukannya dengan cara duduk.

Duduk terlalu lama dengan postur tubuh yang salah boleh menyebabkan tekanan kepada otot serta cakera tulang belakang dan leher.

Posisi ini juga menyebabkan ketegangan otot fleksor pada tulang pinggul dan tekanan serta iskemia (gungguan aliran darah) pada otot punggung (punggung kebas). Keduanya adalah penting sebagai penyokong tulang belakang.

Jadi, untuk mengelakkan masalah sakit tulang belakang dan leher, seimbangkan posisi duduk dan berdiri ketika bekerja atau melakukan pelbagai aktiviti harian.

Postur Duduk Yang Betul

#5 – Salah Pilih Kasut

Sakit belakang juga sering dikaitkan dengan pemakaian jenis kasut yang salah.

Biarpun ia cantik dan trendy, ia bakal menyebabkan efek ketidakselesaan pada tulang belakang.

Walaupun umum tahu, wanita tetap menyukai jenis kasut tumit tinggi. Laporan Spine Health Institute menyatakan 72% wanita sedunia gemar memakainya.

Walaupun kasut tumit tinggi akan membuatkan kita nampak tinggi, tegap, anggun dan mencantikkan punggung, ia tetap dikenalpasti sebagai penyumbang percuma kepada pelbagai masalah sistem sokongan tubuh.

Ia tidak sahaja memberikan impak buruk kepada tulang belakang, bahkan kepada kaki, lutut dan tulang pinggul juga terutamanya.

Antara karakteristik lain berkenaan kasut yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan tulang belakang ialah pemakaian kasut yang terlalu ketat, terlalu berat, tidak sesuai dengan keadaan, tidak memakai stokin atau kasut yang berkualiti rendah.

Bukan mahal menjadi ukuran utama, tetapi lebih penting untuk memilih kasut yang selesa dan selamat demi kesihatan kaki dan tulang belakang.

#6 – Ketagihan Gajet

Hampir semua orang dewasa mahupun remaja (bahkan kanak-kanak) memiliki gajet masing-masing terutamanya dari jenis smartphone atau telefon pintar.

Kegilaan terhadap permainan “online game” dan media sosial adalah faktor utama ramai daripadanya menghabiskan hampir kebanyakkan masa terluang dengan bermain smartphone semata-mata.

Namun antara kesan buruk ketagihan smartphone terhadap kesihatan ialah boleh merosakkan tulang belakang. Bagaimana?

Walaupun berat kepala kita sekitar 4.5 ~ 5.4 kg, namun apabila kita tunduk fokus melihat telefon, berat efektif kepala kepada tulang leher akan semakin meningkat: lebih kurang 12 kg (pada sudut 15 darjah) hingga 27 kg (pada sudut 60 darjah).

Dr Kennerth Hansraj –  Pakar Bedah Ortopedik, Spine Surgery & Rehabilitation Medicine, New York.

Ramai daripada pengguna telefon pintar menghabiskan masa sekitar 2 hingga 4 jam sehari dengan postur kepala dan leher sebegini akan menyebabkan tekanan berlebihan kepada tulang sendi leher (cervical) sebanyak 700 hingga 1400 jam setahun. ia dikenali sebagai sindrom “Text Neck”.

Tekanan berlebihan ini dalam jangkamasa panjang akan membawa tanda-tanda sakit kepala, sakit belakang leher, sakit belakang badan, sakit bahu serta tangan kebas.

Lebih buruk lagi, ia akan membawa risiko sakit tulang belakang jika tidak ditangani segera.

Sakit Leher

#7 – Tak suka minum susu!

Apa kaitan minum susu dengan sakit tulang belakang?

Susu lembu, susu soya atau pelbagai produk tenusu lain termasuk keju dan yogurt adalah antara sumber makanan yang kaya dengan kalsium.

Kalsium adalah sejenis nutrien mineral yang sangat penting untuk kesihatan tulang belakang.

Tulang adalah tempat tubuh menyimpan sumber kalsium yang utama dalam badan.

Tahukah anda? Ibu hamil yang mengalami masalah sumber kalsium tidak mencukupi daripada diet pemakanan, terpaksa mengambil kalsium daripada tulang sendiri untuk keperluan tumbesaran bayi.

Sesetengah orang pula memang ada sifat alergik terhadap susu terutamanya susu lembu. Kembung perut, loya & muntah serta cirit-birit adalah antara tanda-tandanya.

Tetapi jangan risau, sumber kalsium boleh juga diambil dari sumber sayuran, ikan, tempe, tofu atau makanan yang diperkaya dengan kalsium.

Atau lebih mudah, boleh sahaja dapatkan dalam bentuk suplemen kalsium yang selamat dan berkesan.Makanan Tinggi Sumber Kalsium

#8 – Ketagihan Kafein

Ramai orang gemar minuman kopi, teh dan air soda berkarbonat. Ia sememangnya sedap kerana sangat kaya dengan kandungan kafein.

Kafein jika diambil secara berlebihan akan mendatangkan kesan buruk kepada tubuh termasuk kesihatan tulang.

Ini kerana didapati, kafein berpotensi menghalang atau mengganggu proses penyerapan kalsium ke dalam badan.

Dalam sesetengah kajian, pengambilan minuman yang mengandungi kafein telah dikenalpasti berkaitan dengan kehilangan jisim tulang dan meningkatkan risiko keretakan atau patah tulang.

Laporan PubMed: No. 12204390

Berhati-hati dengan jumlah pengambilan kafein harian anda, terutamanya ibu hamil.

Selain tidak bagus untuk bayi dan kesihatan ibu hamil, ia juga berpotensi membawa kesan kerapuhan tulang atau osteoporosis di masa hadapan.

#9 – Tidak Cukup Tidur

Tidur bererti memberi ruang kerehatan kepada sistem tubuh termasuk tulang belakang.

Namun ada beberapa sebab yang sering sering menjadi punca utama kita tidak dapat tidur yang cukup seperti:

  • Terlalu sibuk bekerja
  • Hidup terlalu aktif sepanjang masa
  • Ketagihan gajet
  • Insomnia – sukar untuk tidur
  • Gangguan penyakit tertentu

Masalah kurang tidur juga sering menyebabkan kita mudah rasa sakit belakang apabila bangun dari tidur.

Namun bukan itu sahaja, cara kita tidur atau posisi kita tidur juga memainkan peranan kepada kesihatan tulang belakang dalam jangkamasa panjang.

Gaya posisi yang baik ketika tidur adalah menelentang dan mengiring ke kanan.

Ia baik kerana tidak memberi tekanan dan menjaga kelengkungan neutral tulang belakang dengan betul.

Kita boleh bertukar-tukar posisi semasa tidur, cuma elakkan posisi tidur meniarap.

Banyak kajian tentang kesan tidur meniarap atau dalam bahasa inggeris disebut “Sleep On Your Stomach”.

Tidur secara meniarap boleh memberikan bebanan kepada belakang badan dan tulang belakang.

Ia disebabkan berat badan kita lebih tertumpu pada sekitar abdomen perut. Lebih-lebih lagi bila perut kita buncit.

Jadi agak sukar untuk kita mengekalkan kedudukan neutral tulang belakang apabila kita suka gaya tidur meniarap. Akibatnya kita akan mudah mendapat sakit leher dan bahagian tulang belakang.

Facebook Comments:
Awas! 9 Tabiat Buruk Menyebabkan Sakit Tulang Belakang Yang Biasa Kita Buat

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.